shadow

KETUA jurulatih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim, menganggap barisan pemainnya lulus ujian apabila dapat menyerap segala ancaman barisan serangan Kelantan dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Baginya, keputusan seri tanpa jaringan di gelanggang lawan menjadi motivasi terbaik kepada skuadnya yang masih dalam proses pembentukan.

“Tahniah kepada semua pemain yang nampak begitu semangat beraksi di hadapan penyokong tuan rumah. Kita tahu Kelantan sebuah pasukan yang kuat dan mereka sudah lengkap sepenuhnya berbanding PKNP yang masih dalam 70 peratus persiapan.

“Apa yang saya lihat, pemain saya cukup  bersemangat dan berjaya menghalang segala ancaman Kelantan yang diketuai penyerang import baru. Selain itu, kami juga berjaya mengatasi tekanan yang diberikan penyokong setia mereka,” katanya, menerusi laporan Stadium Astro.

Ditanya mengenai aksi penyerang import  kelahiran Jepun, Masahito Noto, Abu Bakar jelas tidak berminat untuk mengikatnya.

“Selain faktor fizikal, dia belum menepati ciri penyerang yang kami mahukan. Mungkin saya akan melihat kepada keupayaan penyerang kelahiran Korea Selatan, Yeon Gil Sung, yang mengalami sedikit kecederaan tetapi mungkin boleh beraksi menentang Kedah nanti,” tambahnya.

Untuk rekod, PKNP FC akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan menentang Kedah dan MISC-MIFA selepas ini bagi mengukuhkan kombinasi pemain menjelang musim baru Liga Super bermula awal bulan depan.

Komen & Pendapat