Jenayah

ADUN Sri Muda Akan Dibicarakan Tuduhan Hasutan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Adun Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memuat naik artikel berbaur hasutan melalui laman blognya srimuda.blogspot.com pada 2011.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop memerintahkan demikian selepas membenarkan rayuan kerajaan Malaysia dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengisytiharkan bahawa Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 4 akta serupa, adalah tidak sah kerana melanggar Perlembagaan.

Memetik laporan Sinar Online, panel itu turut dianggotai Datuk Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Dalam keputusan sebulat suara itu, penel tersebut memutuskan bahawa tindakan Mat Shuhaimi memfailkan tindakan sivil melalui saman pemula supaya pertuduhan hasutan terhadapnya dibatalkan, adalah adalah menyalahguna proses mahkamah.

Sehubungan itu kes tersebut ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 8 Januari ini sebelum ditetapkan tarikh bicara.

Mat Shuhaimi, 49, dihadapkan ke mahkamah pada 2011 atas pertuduhan memuat naik artikel berbaur hasutan dalam blognya, srimuda.blogspot.com berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning di Shah Alam pada 30 Disember 2010.

Pada 1 April, 2011, Mat Shuhaimi memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di Shah Alam memohon pertuduhan hasutan terhadapnya dibatalkan atas alasan Akta Hasutan melanggar perlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 26 Ogos, 2011, menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan menghasut itu, dan beliau juga tidak berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang ditolak pada 17 Mei tahun lepas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");