Membawang Hari Ini

Agenda Ramli Sarip Ubati Rindu Peminat

KUALA LUMPUR: Barangkali individu yang sebayanya memilih untuk menghabiskan banyak masa dengan berehat di rumah bersama keluarga.

Bagaimanapun, ia tidak berlaku kepada seniman berjiwa besar, Datuk Ramli Sarip yang seakan-akan tidak kenal erti penat.

Pada usia 67 tahun, penyanyi bergelar Papa Rock ini masih lincah beraksi di atas pentas.

Saban tahun, dia tidak pernah berehat dan tahun lalu, Ramli menjayakan beberapa projek besar antaranya Konsert Gala Pelarian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang mencatat kejayaan.

Untuk tahun ini, Harian Metro melaporkan, Ramli sudah merencanakan beberapa agenda antaranya menghasilkan lagu baru untuk albumnya bagi mengubati kerinduan peminat.

“Perancangan untuk album ini memang sudah lama. Buat masa ini saya sedang menyiapkan seberapa banyak lagu dan kemudian barulah fikirkan berkenaan strategi pemasaran dan tarikh pasarannya.

“Ini album penuh dan bukannya album mini. Selagi boleh, saya akan cuba merakamkan seberapa banyak lagu menarik buat peminat,” katanya.

Tidak terkecuali, penyanyi yang mencipta nama bersama kumpulan Sweet Charity ini juga merancang mengadakan konsert bersama pasangan duetnya Datuk Khadijah Ibrahim.

“Syarikat saya Rasa Music akan bergabung dengan syarikat produksi milik Khaty untuk konsert yang dinamakan 30 tahun Anniversary Doa Buat Kekasih.

“Kami ada sekitar dua atau tiga album duet dan rasanya sudah sampai masanya untuk bergabung dalam satu konsert. Ia boleh menjadi sesuatu yang manis, nostalgia dan kenangan buat peminat,” katanya.

Menurutnya, cadangan awalnya konsert ini akan berlangsung di Kuala Lumpur, Singapura serta Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini hanya empat lokasi yang difikirkan. Namun, sekiranya ada peminat berminat anjurkan malam gala, kami terbuka untuk menimbangkannya.

“Segala proses sudah berjalan. Saya akan memastikan memilih lagu terbaik untuk disampaikan kepada peminat,” katanya.

Pernah berdepan ujian penaja menarik diri pada Konsert Gala Pelarian, Ramli bersikap terbuka sekiranya ada penaja yang berminat menaja konsert ini.

“Sebenarnya saya tak terlalu mengharapkan sangat. Jika ada penaja yang nak ke depan, saya akan pertimbangkan.

“Tapi untuk masa ini, saya tak boleh tunggu. Saya akan bergerak sendiri dan tak boleh terlalu berharap pada tajaan. Jika ada bahan mencukupi dan momen yang baik, saya rasa penaja akan masuk,” katanya.

Ramli meletakkan harapan akan ada penaja tetapi tidak terlalu berharap kerana tidak mahu kecewa sendiri nanti.

“Jangan bila tiada penaja, tak boleh buat dan tak boleh hidup. Kami boleh buat cara skala kecil dan sederhana.

“Konsert Doa Buat Kekasih ada momen yang baik dan tak mustahil jika ada penaja atau stesen TV berminat untuk terbabit sama,” katanya.

Menurutnya, ini adalah sebahagian kehidupan dan untuk mendapatkan sesuatu perlu ada perjuangan sendiri.

“Insya-Allah saya juga merancang untuk buat Konsert Pelarian 2 selepas ini. Perkara ini berpanjangan dan selepas konsert itu, barulah nampak kebangkitan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu.

“Dalam hidup kita semua ada peranan. Apa yang dibuat ialah misi kemanusiaan dan bukannya kerana agama semata-mata.

“Memanglah sebagai Muslim kita bersaudara tapi dalam seni tiada sempadan,” katanya yang merancang mengadakannya di Sabah dan Sarawak pula selepas ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");