Berita Hari Ini

Agensi Kerajaan Disaran Tubuh Unit Keselamatan Jalan Raya

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyarankan setiap agensi kerajaan supaya menubuhkan Unit Keselamatan Jalan Raya tahun ini bagi membantu meningkatkan kesedaran kakitangan berhubung keselamatan jalan raya.

Beliau berkata unit itu akan berfungsi memberi maklumat mengenai keselamatan jalan raya selain mengadakan kempen berkenaan di agensi masing-masing.

Katanya cadangan penubuhan unit itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita mengambil contoh di tapak projek pembinaan, ia ada Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang telah memberi impak berkesan kepada keselamatan pekerja.

“Kita (kerajaan) tidak mahu sekadar mengenakan kompaun bagi kesalahan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran sehingga dituduh mahu mengutip wang rakyat. Apa yang saya mahu adalah setiap individu sedar mengenai kepentingan menjaga nyawa,” katanya pada sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Besi (Hala Selatan) hari ini.

Kempen itu anjuran bersama ‘Malaysia Motorcycle and Scooter Dealers Association’ (MMSDA) dan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd.

Tiong Lai berkata tahun ini, kementerian akan memberi keutamaan kepada kempen keselamatan jalan raya dalam kalangan pembonceng dan penunggang motosikal bagi mengurangkan kadar kematian mereka akibat kemalangan jalan raya.

Berdasarkan statistik kematian 2016, katanya, sebanyak 62 peratus atau 4,485 daripada 7,152 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Mengenai cadangan supaya pengguna memiliki lesen kenderaan motosikal kelas B2 sebelum memperoleh lesen kelas B bagi motosikal berkuasa besar 500cc ke atas, Tiong Lai berkata keputusan itu akan dikaji terlebih dahulu.

Ketika ini, pengguna yang berumur 16 tahun ke atas boleh terus memiliki lesen kelas B tanpa lesen B2.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Op Selamat dan Op Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina 2018 akan bermula dari 9 Februari hingga 23 Februari ini lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");