Isu Panas

Amanah Hanya ‘Parti Kecil’ Dalam Pakatan Harapan

SHAH ALAM – Peruntukan 27 kerusi Parlimen di Semenanjung kepada Amanah dalam PRU14 menunjukkan parti itu hanya dianggap sebagai ‘parti kecil’ dalam Pakatan Harapan (Harapan).

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, menerusi agihan kerusi yang diumum Harapan kelmarin, Amanah dilihat seolah-olah seperti terpinggir dan gagal untuk mendapat perhatian daripada gabungan parti-parti pembangkang lain.

“Harapan beranggapan Amanah tidak layak letak calon mereka di kerusi-kerusi strategik dalam PRU14 nanti dan disebabkan itulah mereka hanya dapat sejumlah kecil kerusi,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 Ahad lalu, gabu- ngan pembangkang capai kata sepakat dalam rundingan pembahagian kerusi Parlimen di kawasan Semenanjung.

Menerusi pembahagian tersebut, Bersatu memperoleh 52 kerusi, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi manakala Amanah pula hanya mendapat 27 kerusi.

Sehubungan itu, Nik Zawawi berkata, pemimpin Amanah sepatutnya sedar perkembangan ini yang dilihat jauh berbeza sewaktu mereka berada dalam saf kepimpinan Pas suatu ketika dahulu.

“Sewaktu mereka dalam Pas, penghormatan yang diberikan oleh kami adalah lebih baik berbanding Pakatan Harapan dan sepatutnya mereka sedar perkara ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri Harapan, Nik Zawawi berkata, gabungan pembangkang tidak mempunyai tokoh berwibawa untuk diketengahkan sebagai pimpinan tertinggi mereka.

Beliau berkata, pemilihan Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri menunjukkan bahawa gabungan itu mengambil mudah soal pemerintahan negara sekiranya dapat menjadi kerajaan selepas ini.

“Harapan cuba untuk kelihatan menonjol bagi menampakkan mereka adalah parti pilihan di masa hadapan. Kalau parti yang betul mampu memerintah, mereka akan lakukan tindakan macam Pas di mana kita hanya berdiam diri sahaja dan tak tonjolkan siapa-siapa.

“Ini kerana masyarakat memang tahu kalau Pas menang nanti, siapa yang akan jadi calon kami untuk diangkat sebagai perdana menteri,” katanya.

Tambahnya, pemilihan Presiden Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri juga tidak bersesuaian memandangkan beliau tidak begitu menonjol dan hanya menumpang aura suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi tahanan di penjara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");