Perak Hari Ini

Anak Muda Di Bagan Datuk Perlu Rebut Peluang Pekerjaan, Perbanyakkan Inap Desa -TPM

BAGAN DATUK:Golongan belia Bagan Datuk disaran merebut peluang pekerjaan yang akan dibuka apabila sebuah kilang pemasangan trak dan lori di buka di daerah ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 4,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan kepada golongan muda kelak setelah kilang itu dibina.

“Syarikat pemasangan kenderaan itu telah bersetuju untuk melabur bagi membuka kilang berkenaan di salah sebuah tanah ladang kelapa sawit berhampiran lokasi Jambatan Bagan Datuk yang kini dalam proses pembinaan.

“Ia hampir pasti akan dibina (kilang) dan saya sendiri terlibat dalam membawa pelabur luar untuk kilang ini.

“Sebanyak 400 ekar tanah sedang dirundingkan oleh pihak terlibat bagi proses pembelian,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Perkarangan Kediaman Fauzi Siraj, Kampung Sungai Tiang Darat, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut berkata golongan muda perlu merebut peluang pekerjaan itu.

“Saya sendiri akan minta kepada syarikat ini agar diberi keutamaan kepada anak-anak Bagan Datuk dan mereka mesti sahut cabaran ini.

“Kita juga akan menjadikan Kolej Komuniti Bagan Datuk sebagai satu kolej yang melahirkan tenaga kerja dalam automotif,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid tiba di perkarangan rumah Fauzi sekitar  jam 5.30 petang bagi beramah mesra serta berpeluang minum petang bersama lebih 500 penduduk yang hadir.

Tambah menarik beliau turut menyampaikan ucapan yangdan diselang selikan dengan bahasa Jawa.

Zahid turut meminta Kerajaan Negeri mengenalpasti lokasi terpilih dalam usaha memperbanyakkan inap desa di kawasan Hutan Melintang dan Rungkup.

“Apabila ada pembangunan dan peluang kemajuan hotel pula tiada di Bagan Datuk maka sukar untuk pelancong datang untuk menginap kelak

“Saya mahu kenalpasti rumah yang boleh dijadikan inap desa walaupun kini di Rungkup ada 200 homestay tapi ia masih tidak cukup malah kita perlu sekurangnya 500 homestay di Hutan Melintang,” katanya.

Jelasnya peruntukan akan cuba didapatkan menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia agar rumah yang sesuai dijadikan inap desa akan diubahsuai mengikut keperluan termasuk menyediakan penghawa dingin di setiap bilik.

“Ia akan memberi sumber pendapatan tambahan kepada orang kampung kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");