Sukan Hari Ini

ASUM Sahkan Wendy Ng Disenarai Ke Sukan Komanwel 2018

KUALA LUMPUR — Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan penerjun negara yang gagal ujian doping pada Sukan SEA Ke-29, Wendy Ng Yan Yee, dinamakan dalam senarai awal ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast pada April ini.

Penolong Setiausaha ASUM, May Tan, berkata bagaimanapun, pihaknya masih menunggu keputusan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) untuk memastikan nama Wendy berada dalam senarai akhir bagi mewakili negara.

“Kita telah buat rayuan kepada FINA dan jika nasib menyebelahi Wendy, beliau akan turut serta pada Sukan Komanwel nanti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan temasya itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Pada mesyuarat berkenaan, ASUM menyenaraikan 13 penerjun dan lima perenang ke Sukan Komanwel itu namun, nama perenang tidak diumumkan kerana ia belum dimuktamadkan.

Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran jurulatih baharu dalam skuad terjun negara, May Tan berkata jurulatih dari Australia itu sudah tiba ke negara ini namun, masih belum memulakan tugasnya secara rasmi.

“Beliau masih belum menerima permit kerja jadi, tidak dapat mulakan tugas sebagai jurulatih. Beliau dijangka bersama-sama penerjun negara ke Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Pada Disember lepas, ASUM mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat jurulatih Australia bagi menggantikan jurulatih dari China, Yang Zhuliang, yang kontraknya di bawah Program Podium tamat pada 31 Dis dan tidak disambung oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Keputusan itu diambil selepas beliau gagal memanfaatkan kaedah sains sukan ke alam latihan skuad kebangsaan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");