Berita Hari Ini

Awas! Kerajaan Pertimbang Tubuh Undang-Undang Hukum Penyebar Fitnah

Penyebaran berita palsu merupakan epidemik sejak berleluasanya penggunaan media sosial dan langkah membendung ‘wabak’ ini mula dipertingkatkan di seluruh dunia.

Di Malaysia, kerajaan akan mengkaji keperluan mewujudkan undang-undang memerangi berita palsu sepertimana dilakukan Perancis dan United Kingdom untuk membendung penyebaran berita palsu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan pelaksanaan undang-undang ini bukan bermakna kerajaan menyekat penggunaan media, tetapi sebagai langkah untuk membanteras gejala penyebaran berita palsu.

“Kita tidak mahu berita palsu ini tersebar luas. Ini bukan bererti kita kawal internet, internet bebas lagi tetapi kebebasan itu mestilah ada dengan unsur kebertanggungjawaban,” katanya dipetik Bernama.

Ujarnya, fitnah pembangkang mendakwa Barisan Nasional (BN) membawa masuk 40,000 pengundi warga Bangladesh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu membuktikan bahawa berita palsu boleh menjejaskan keharmonian negara serta perjalanan proses pengundian itu sendiri.

“BN juga pernah jadi mangsa kepada sebaran berita palsu kononnya black out (bekalan elektrik terputus), padahal orang mesti fikir kalau black out pun masih siang hari.

“Kita tutup peti undi pada pukul 5 dan 5.30 (petang), masih cerah lagi, masih boleh kira lagi…counting agent pembangkang pun ada kat situ, jadi sistem kita tidak boleh nak tipu sebenarnya,” katanya.

Justeru, penggubalan undang-undang baharu ini kata Najib adalah langkah holistik kerajaan untuk mengenakan tindakan lebih tegas kepada penyebar berita palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari turut mengumumkan akan menyemak semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai langkah membendung gejala tersebut.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah berkata, mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Perdana Menteri Britain, Theresa May pada minggu lalu juga mengumumkan mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Malah, Pope Francis mengeluarkan kenyataannya pada Rabu lepas bertajuk “Berita palsu dan kewartawanan demi keamanan” turut menyentuh perihal fitnah di media sosial.

“Bagaimana kita mengenali berita palsu?

“Ia meraih perhatian orang ramai dengan melakukan stereotaip dan prasangka sosial,” ujarnya sambil menambah masyarakan kini suka membuat kesimpulan berdasarkan tweet atau kenyataan ringkas tanpa memahami sesuatu isu terlebih dahulu.

“Antidot terbaik kepada kepalsuan adalah bukan strategi, tetapi rakyat,” tulis Pope dipetik laman web Vatica.

“Orang yang tidak tamak tetapi bersedia untuk mendengar penjelasan, orang yang berusaha untuk melibatkan diri berdialog agar kebenaran dapat ditegakkan, orang yang merapatkan diri dengan tuhan dan mengambiil tanggungjawab tentang bagaimana mereka menggunakan bahasa mereka”.

– mD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");