Jenayah

Basikal Lajak Ragut Nyawa Dua Remaja

PONTIAN: Dua remaja maut, manakala seorang lagi patah bahu selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang ‘basikal lajak’ di Jalan Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas di sini, malam tadi.

Menurut BH Online, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Ibnu Ahmad Ahmad Nais, 16, bersama seorang rakan yang belum dikenal pasti identitinya, maut di lokasi kejadian.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang memandu kereta Toyota Altis tidak mengalami kecederaan.

Ia kejadian kedua dilaporkan membabitkan basikal lajak. Pada 18 Februari tahun lalu, lapan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun maut, manakala lapan lagi cedera termasuk dua kritikal selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam di sini.

Saksi kejadian malam tadi yang juga penduduk kampung berkenaan, Fazli Hashim, 36, berada di warung berhampiran lokasi kejadian.

“Kami nampak arwah bertiga dengan rakannya bermain basikal. Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman dan apabila menoleh, saya nampak sebuah basikal melambung tinggi.

“Saya berlari ke tempat kejadian dan awalnya nampak seorang remaja berdiri dan tidak cedera. Seorang penduduk menyuluh lampu ke parit berhampiran lalu ternampak seorang daripada mereka tertiarap dengan kepala berdarah.

“Seorang lagi remaja ditemui dalam parit agak jauh (tercampak) dari lokasi kejadian. Penduduk segera menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Fazli berkata, kumpulan remaja terbabit dikatakan baru pulang daripada perjumpaan kumpulan kompang di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian.

Sementara itu, nenek kepada Ibnu Ahmad, Bechik Kadasek, 73, tidak menyangka gurauan pelik cucunya tengah hari semalam menjadi kenyataan.

“Semalam dia ada tanya saya bila datuknya meninggal dan kata dia (cucu) ‘macam nak jalan dulu’,” katanya.

Bechik mendapat panggilan daripada jiran pada jam 11 malam memaklumkan cucunya terbabit dalam kemalangan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");