Sukan Hari Ini

Berjaya Tumpaskan Arab Saudi, Skuad Kim Swee Lakar Sejarah Ke Suku Akhir

SKUAD negara membuat kejutan terbesar di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun apabila menewaskan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 di Stadium Kunshan, sebentar tadi.

Menurut Harian Metro, kemenangan itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah mara ke suku akhir pada penyertaan sulung dalam kejohanan itu selepas muncul naib juara Kumpulan C untuk mengiringi Iraq yang menewaskan Jordan 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium Changshu.

Ia perlawanan hidup mati buat kedua-dua pasukan selepas skuad negara mengutip satu mata hasil seri 1-1 dengan Jordan dan tewas 1-4 di tangan Iraq sebelum ini, manakala Arab Saudi turut terdesak memburu kemenangan selepas seri 2-2 menentang Jordan dan terikat tanpa jaringan bertemu Iraq.

Namun, tidak banyak perubahan dilakukan oleh Kim Swee dalam kesebelasan utama apabila hanya memasukkan R Kogileswaran menggantikan Jafri Firdaus Chew di jentera serangan manakala Safawi Rasid dan Akhyar Abdul Rashid yang dilaporkan cedera tetap beraksi.

Sebaik perlawanan bermula, Arab Saudi yang dikendalikan jurulatih kelahiran Argentina, Daniel Eduardo Teglia tidak menunggu lama untuk mengancam kubu Malaysia.

Sepakan percuma Fahad Al Rashidi yang terkena palang pada minit ketiga dan tandukan Abdulelah Alamri (m-16) yang ditepis keluar penjaga gol Haziq Nadzli, jelas memberi tekanan kepada pasukan negara.

Namun, di sebalik penguasaan bola pemain Arab Saudi, mereka dikejutkan dengan jaringan pertama Malaysia menerusi rembatan deras pemain tengah Daniel Amier Norhisham dalam kotak penalti hasil gerakan Matthew Davies pada minit ke-28.

Pada separuh masa kedua, Arab Saudi bangkit mengasak dari setiap sudut dan terpaksa menggunakan hantaran jauh untuk cuba melepasi pertahanan negara yang ampuh bertahan sekali gus memastikan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Malaysia bakal beraksi di suku akhir pada 20 Januari ini di venue sama bertemu juara Kumpulan D yang bakal ditentukan oleh Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Syria.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");