Membawang Hari Ini

Biasiswa RM1.3 Juta Mira Filzah, Nafi Untuk Dapat Pandangan Hebat

BERBEKALKAN wajah manis menawan dan penampilan yang sopan, Mira Filzah pantas menghambat rasa suka kaum lelaki mahu pun wanita menerusi penampilannya dalam drama Cinta Si Wedding Planner bersama aktor, Datuk Adi Putra.

Berkat drama popular itu, ia berjaya mele­dakkan nama Mira sekali gus berjaya meme­nangi anugerah Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Ke-29 (2016) dan kini bergelar pengacara sebuah program berprestij yang kekal relevan pada usia 33 tahun iaitu Nona.

Namun, untuk sebuah kepuasan yang lebih maksimum, sang jelita melangkah berani daripada kotak dunia seni dengan mewujudkan biasiswa bernilai RM1.3 juta untuk pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang kecantikan dan keusahawanan.

Seperti bunga yang berkembang mekar selepas mendapat cahaya dan air, faktor itu antara pendorong Mira untuk pantas merebut peluang yang terbentang di depan mata dan sedia beralih fasa seterusnya di dalam hidup.

Menurut Kosmo Online, dia mencari sisi kepuasan dengan mewujudkan biasiswa itu, namun bukan hanya pelaburan pada masa depan yang dicarinya, tetapi cinta yang tertumpah di jiwa menerusi kedua-dua bidang itu.

“Saya bekerjasama dengan Aesthetic Skin International Institute untuk mengeluarkan biasiswa Mira Filzah Scholarship untuk menaja seramai 100 pelajar yang mahu menyambung belajar jurusan Keusahawanan dan Kecantikan di institut berke­naan.

“Pelan asalnya, institut itu menawarkan saya untuk menjadi duta produk mereka. Bagaimanapun, saya inginkan sesuatu yang lebih memberi manfaat kepada diri dan juga orang di sekeliling. Saya juga mahukan pelaburan lebih panjang. Jadi, saya terfikir mengenai penubuhan bia­siswa ini,” ujarnya yang mengaku daripada dahulu lagi berniat untuk terlibat dalam bidang pendidikan atau program amal, selain bidang hiburan.

Walaupun baru dua tahun dalam industri seni, namun pelakon berusia 25 tahun itu boleh dianggap sebagai artis berpengaruh yang perlu dijadikan contoh rakan-rakan seperjuangan mahu pun orang ramai melalui kerjasamanya dengan Aesthetic Skin International Institute yang menyediakan biasiswa sebanyak RM1.3 juta.

Menyuakan perkara itu kepada pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, dia cepat-cepat me­rendah diri.

“Niat saya dengan pelaburan ini bukanlah untuk mendapat pandangan hebat daripada mata orang ramai. Cukup dengan niat untuk berkongsi apa yang saya ada. Saya tiada niat untuk menjadi artis berpengaruh,” ujarnya mengenai biasiswa yang menawarkan pembelajaran dalam bidang keusahawanan dan kecantikan untuk jangka masa selama 15 bulan itu.

Tergolong dalam pengacara Nona yang sebelum ini pernah disandang pe­ngacara-pengacara hebat seperti Azizah Mahzan, Christine Ling, Dian P. Ramlee, Ezzah Aziz Fawzy, Nurfarahin Jamsari, Datin Seri Normala Samsudin, Raja Mazian Raja Mohamed, Datin Norjuma Habib Mohamed, Vanida Imran, Maya Karin dan Fara Fauzana ternyata memberi seribu rasa buat Mira.

Pengacara yang lahir pada 2 April 1993 itu menyifatkan pemilihannya sebagai hos Nona sebagai peluang dan rezeki besar yang tidak harus dipandang enteng.

Ia juga ibarat mimpi yang menjadi nyata, sementelahan sejak dari kecil lagi Mira selalu berangan untuk menjadi penga­cara Nona satu hari nanti.

“Namun begitu, ada sedikit gementar untuk mengacarakan program No­na. Bukan apa, program ini ada kelasnya yang tersendiri. Saya takut tidak dapat membawanya dengan baik, tetapi selepas jayakan penggambaran sebanyak enam episod, alhamdulillah semuanya berjalan de­ngan lancar.

“Mungkin ada kekurangan sedikit itu saya akan perbaiki dari semasa ke semasa. Hakikatnya, semua orang pernah melalui pengalaman melakukan sesuatu dalam hidup atau pekerjaan. Perkara pertama itulah yang mengajar kita untuk jadi lebih baik pada masa akan datang,” luah Mira yang turut menerima tempias kritikan segelintir individu yang mengatakan dia kelihatan muda untuk me­ngacarakan program berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");