Berita Hari Ini

BN Pahang Serah Senarai Calon PRU-14

BENTONG: Barisan Nasional (BN) Pahang sudah mengenal pasti calon yang memiliki ciri-ciri disukai rakyat untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata senarai lengkap cadangan calon termasuk dari parti komponen BN untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sudah dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Senarai nama calon dicadangkan BN Pahang mempunyai ciri-ciri yang disukai rakyat. Kita tak boleh lagi namakan calon yang kita (parti) hendak, sebaliknya calon yang rakyat hendak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Bantuan Anak Pahang (BAP) Yayasan Pahang kepada 1,000 murid dari kawasan DUN Pelangai, dekat sini, hari ini.

Adnan berkata, calon yang dicadangkan terdiri daripada muka lama dan baharu yang boleh memberi kemenangan kepada BN, namun pemilihan terakhir terserah kepada Perdana Menteri.

Bagi kerusi tradisi, katanya, tidak akan berlaku pertukaran di antara parti komponen bagi menjaga hati semua pihak.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap dicadang diberikan kepada MIC walaupun kawasan itu majoritinya Melayu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar menafikan dakwaan bahawa Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kini gering.

“Saya mengesahkan Sultan Pahang masih sihat dan sedang berehat. Pemeriksaan yang dilakukan doktor juga menunjukkan keadaan kesihatan baginda adalah bagus.

“Cuma faktor usia menampakkan baginda uzur dan suka duduk atas kerusi roda walaupun baginda sebenarnya boleh berjalan,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");