Sukan Hari Ini

Chong Wei Janji Sumbang Mata Pertama

KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei berjanji menyumbang mata pertama dalam setiap perlawanan skuad negara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, minggu depan.

Jaguh perseorangan lelaki negara itu berkata, sebagai pemain pertama yang akan turun beraksi, penting untuknya menyumbang mata bagi memberi keyakinan kepada rakan sepasukan dalam usaha memastikan kemenangan buat Malaysia.

“Saya akan menggalas tugas perseorangan pertama dan yang pertama turun beraksi, jadi mata pertama untuk pasukan adalah penting. Saya akan buat yang terbaik bagi memastikan saya meraih mata.

“Ini kejohanan berpasukan, jadi mata pertama penting untuk mencetus motivasi dan meningkatkan keyakinan rakan sepasukan. Namun saya harap pemain lain juga dapat memainkan peranan masing-masing,” kata Chong Wei, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Malaysia yang tampil sebagai pilihan ketujuh diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Thailand dan Myanmar.

Kejohanan itu turut menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018 di Bangkok, Mei depan.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik akan layak ke pusingan akhir Piala Thomas.

Mengulas mengenai undian kali ini, Chong Wei berkata, biarpun ramai melihat peluang Malaysia untuk melepasi peringkat kumpulan besar tetapi dia mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memandang remeh setiap lawan yang akan mereka hadapi.

“Kami tidak boleh pandang rendah setiap lawan kerana mereka juga ada kelebihan, jadi kami perlu berhati-hati. Kejohanan berpasukan berbeza dengan individu yang mana semangat sepasukan itu menjadi kunci penting. Lebih baik fokus kepada persiapan diri sendiri,” katanya.

Selain Chong Wei, Malaysia menyenaraikan tiga lagi pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven.

Cabaran beregu lelaki pula akan digalas Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");