Jenayah

Dadah Dalam Bungkusan Minuman Berperisa

KUANTAN – Sekali pandang, tiada siapa menyangka bungkusan berperisa minuman itu sebenarnya mengandungi dadah apatah lagi ia lengkap mempunyai jenama Banly, logo halal dan alamat pengilang.

Mempunyai empat ‘perisa’ iaitu strawberi, nanas, anggur dan oren, ia adalah taktik licik yang berjaya dikesan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang.

Pasukan ini telah menahan seorang lelaki berusia 38 tahun kira-kira jam.4.30 pagi, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Kudin berkata, suspek ditahan di sebuah lorong di Taman Pertama dekat Jalan Haji Ahmad, disini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis berjaya merampas satu kotak mengandungi serbuk methamphetamine seberat 1660.8 gram, syabu seberat 101.8 gram dan pil erimin 5 sebanyak 500 biji seberat 140.6 gram dengan nilai keseluruhan RM64,500.

“Serbuk Methamphetamine sebanyak 200 paket yang bernilai RM50,000 dibungkus di dalam bungkusan minuman berperisa digunakan sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka guna kaedah ini bagi tujuan untuk memudahkan mereka memasarkan dadah kepada pelanggan,”katanya kepada media pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini memetik sumber Sinar Harian.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang, Superintenden Lam Thiam Huat.

Jamaluddin berkata, pada kebiasaannya, satu paket dadah itu dijual dengan harga RM250 sepaket dan boleh digunakan oleh tiga orang.

“Bagi dadah jenis syabu pula dijual pada harga RM50 sepaket dan pil erimin 5 RM15 sebiji malah sasaran jualan adalah di pusat-pusat hiburan di sekitar Kuantan,” katanya.

Beliau berkata,hasil saringan ujian awal air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine selain mempunyai 14 rekod jenayah lampau dengan 12 daripadanya berkaitan kes dadah manakala dua kes berkaitan kes jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga Jumaat bagi siasatan lanjut,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");