Isu Panas
Like

Dakwaan Hina Sultan: ‘Tidak Cukup Kalau Mohon Maaf Sahaja’ – Ismail

January 19, 2018
179 Views
0 Comments
3 minutes read
Dakwaan Hina Sultan: ‘Tidak Cukup Kalau Mohon Maaf Sahaja’ – Ismail

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf sahaja tidak mencukupi bagi ahli politik yang menghina mana-mana sultan di dalam ceramah masing-masing.

Penganalisis politik Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, mereka yang terlibat seharusnya dikenakan hukuman undang-undang demi memastikan isu sama tidak berulang lagi.

Jelasnya, ia juga sangat keterlaluan apabila mengaitkan institusi diraja di dalam kempen politik terutama melibatkan unsur fitnah dan cacian.

“Ahli politik sebegini boleh diambil tindakan secara lebih menggunakan undang-undang sedia ada iaitu memberikan satu ucapan yang boleh mewujudkan rasa kebencian dengan niat fitnah dan juga menjatuhkan maruah seseorang.

“Bagi saya memohon maaf mudah sahaja tetapi ia sebenarnya tidak memberikan satu pengajaran kepada orang lain. Mungkin dia akan mengulang cakap benda sama tanpa memikirkan kesan untuk dapatkan laba politik dan juga untuk mempengaruhi rakyat menyokong sesebuah parti.

“Saya rasa undang-undang dan akta tertentu sudah ada cuma perlu dilaksanakan,” katanya lapor Astro Awani.

Ismail mengulas tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam ceramahnya baru-baru ini.

Bagaimanapun Mahfuz dilaporkan mempertahankan kenyataannya namun sedia memohon maaf.

Jelas Ismail lagi, banyak ahli politik yang terlalu seronok berceramah tanpa memikirkan kesan dari bahan yang diberikan kepada audiens masing-masing.

“Dalam isu berkenaan, apabila rakyat sudah membuat lebih 200 aduan, PDRM boleh membuka kertas siasatan dan melihat keadaan sebenar.

“Kalau seandainya orang yang berbuat demikian melakukannya secara terang dan jelas tanpa ada perasaan dan hanya untuk menyeronokkan telinga pendengar, satu tindakan perlu diambil dan tindakan ini perlu menjadi pengajaran kepada semua.

“Ini bukan kali pertama ia berlaku, banyak ahli politik menggunakan nama sultan, nama pemimpin, menghina dan sebagainya tetapi lepas begitu sahaja selepas minta maaf,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pemimpin berkenaan juga tidak akan meminta maaf seandainya isu itu tidak viral di media sosial.

“Kalau tidak viral, dia akan rasa tidak bersalah, santai dan tanpa rasa keberkesanan undang-undang itu sendiri.

“Tindakan ini perbuatan yang tidak profesional dan seharusnya tindakan wajar perlu dikenakan dalam isu sebegini,” katanya.

Sebelum ini, Mahfuz dalam ceramahnya, mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Klip video ceramah Mahfuz bersama Pakatan Harapan berdurasi 6 minit 38 saat itu tersebar di laman media sosial.

Komen & Pendapat

Comments are closed.