Membawang Hari Ini

‘Dia Senang Diuruskan’

CINTA mengungguli segala-galanya. Itulah yang dipegang isteri kepada komposer terkenal, Datuk Ooi Eow Jin iaitu Datin Khaw Lean Kee.

Sejak dua tahun lalu, Khaw bertungkus-lumus menjaga suaminya yang kini menghidap Alzheimer.

“Dia sangat mudah dijaga dan tak banyak ragam. Kalau sampai masa untuk makan, saya akan suapkan makanan dan dia tak memilih apa makanan yang diberikan.

“Sampai masa untuk makan ubat, dia juga mudah dan tak banyak masalah. Mungkin dalam ujian berat ini, ada juga perkara mudah untuk saya menjaga suami,” katanya.

Ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, Ooi, 80, yang pernah menghasilkan beberapa lagu untuk penyanyi popular tanah air antaranya Allahyarham Sudirman, Datuk M Nasir dan Rahimah Rahim hanya duduk diam tanpa berkata apa-apa.

“Dia tak ingat apa-apa dah sekarang. Tapi yang mudahnya, dia tak mengganggu orang lain dan hanya duduk diam dengan melakukan apa yang dia suka,” katanya.

Ditanya mengenai anak, wanita berusia 78 tahun itu berkongsi cerita mengenai dugaannya yang lain.

“Saya ada dua anak iaitu Raymond dan Ronny. Ronny, anak kedua saya meninggal dunia ketika berusia 23 tahun kerana ketumbuhan dalam kepala.

“Raymond yang kini berusia 54 tahun juga mengalami ketumbuhan sama dan pernah tiga kali menjalani pembedahan. Kini, saya menjaganya dan suami,” katanya.

Khaw mengungkapkan rasa terharunya apabila ramai yang menghubungi dan menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban dia dan keluarga.

“Terima kasih kepada rakan yang menghubungi dan menyalurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada saya sekeluarga.

“Ada yang memberikan wang dan ada juga yang memberikan dalam bentuk barang keperluan dapur.

“Walaupun ada yang berbeza agama dan kaum, mereka tak pinggirkan saya. Saya sayangkan semua kawan dan kenalan,” katanya.

Bercerita mengenai kos perubatan suaminya, Khaw memaklumkan ia mencecah jumlah RM2,000 ke RM3,000 sebulan.

Dalam pada dia menjalani kehidupannya menjaga suami dan anak, ada juga beberapa cerita kurang enak didengarinya.

“Beberapa kali saya mendapat berita palsu mengenai kematian suami. Saya sendiri tertanya-tanya, bagaimana cerita sebegitu boleh timbul.

“Satu lagi perkara yang menyedihkan adalah apabila ada yang menuduh saya terlalu boros apabila diberikan bantuan.

“Saya tak marah atau berdendam. Saya doakan kesejahteraan mereka yang mereka-reka cerita itu dan semoga dilindungi Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun, Khaw menganggap kehadiran dan sumbangan mereka yang terlibat meringankan bebannya dari segi fizikal dan mental.

“Dengan adanya kehadiran wartawan sebegini, sedikit sebanyak dapat meredakan kesedihan yang saya alami.

“Tahun ini, mungkin akan jadi tahun yang baik buat kami sekeluarga. Ramai juga kawan yang berikan angpau walaupun belum masuk Tahun Baru Cina,” katanya.

Kehadiran ke kediaman komposer itu juga bersempena sesi lawatan yang diatur oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Hadir sama Ketua Pengarah FINAS Datuk Fauzi Ayob, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez dan seniwati Datuk Sarimah Ahmad bagi menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan kepada Ooi serta isteri.

Fauzi berkata, ini program kerjasama antara FINAS dengan persatuan bagi membantu anak seni yang memerlukan.

“Setiap tahun, FINAS memang menyalurkan bantuan kepada anak seni yang memerlukan bantuan dan kepada keluarga Ooi, disalurkan sejumlah wang sebagai bantuan.

“Di pihak FINAS, kami mengumpul data mengenai anak seni dan merekodkannya untuk memudahkan kerja sumbangan sekiranya perlukan bantuan,” katanya.

Tahun lalu, 30 anak seni menerima sumbangan daripada FINAS di samping peruntukan RM50,000 sepanjang 2017.

Sementara itu, Freddie ketika ditemui berkata, pihaknya menerima maklumat Ooi kini menerima tajaan daripada rumah jagaan untuk pesakit Alzheimer yang terletak di Cheras.

“Daripada maklumat itu, saya dapat tahu dia bersama anaknya, Raymond akan ditaja satu rumah jagaan dan secara tak langsung, menjimatkan kos perubatan yang mencecah RM6,000 untuk kedua-dua mereka,” katanya.

Menurut Freddie, itu antara program lawatan pertama untuk tahun ini dan kini pihaknya sedang merangka lawatan untuk beberapa anak seni lain antaranya, pelakon veteran Mimi Loma dalam masa terdekat ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");