Isu Panas

Empat Kerusi Dun Belum Dimuktamad

ALOR SETAR – Senarai pembahagian kouta kerusi Pakatan Harapan Kedah PRU14 yang tular menyaksikan kerusi Dun dibahagi sama rata antara Bersatu dan Amanah, iaitu 12 kerusi.

Manakala PKR diberikan sembilan kerusi dan tiga kerusi diperuntukkan kepada DAP.

Bersatu dikatakan bakal meletakkan calon di Dun Ayer Hangat, Ayer Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Bukit Lada, Anak Bukit, Sungai Tiang, Guar Chempedak, Belantek, Tanjung Dawai, Kupang dan Bandar Baharu.

Amanah pula diberikan Dun Kota Siputeh, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Kubang Rotan, Pengkalan Kundor, Tokai, Sungai Limau, Jeneri, Pantai Merdeka, Bakar Arang, Bayu dan Merbau Pulas.

Kerusi untuk PKR dikatakan tidak banyak berubah, di mana pada PRU13 lalu parti itu bertanding 10 kerusi. Kali ini PKR diberikan kouta sembilan kerusi di Kuah, Bukit Kayu Hitam, Pedu, Bakar Bata, Gurun, Bukit Selambau, Sidam, Kuala Ketil dan Lunas.

Kerusi Derga, Kota Darul Aman kekal milik DAP dan diberikan tambahan Dun Kulim.

Senarai pembahagian kerusi itu dikatakan tular sejak seminggu lalu, dan menjadi bualan di kedai kopi.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika mengulas mengenai senarai terbabit menyifatkan ia sekadar spekulasi awal yang dibuat pihak tertentu.

“Saya tak pernah lihat senarai ini, jika tular kemungkinan spekulasi pihak luar, bukan dari dalaman parti. Semua rundingan dibuat secara tertutup antara parti dan senarai itu hanya 60 peratus hampir tepat,” katanya.

Menurutnya, kerusi Parlimen juga tidak tepat berdasarkan kepada pengumuman dibuat Pusat sebelum ini, yang belum ditentukan secara spesifik.

“Saya anggap senarai itu disebar sekadar untuk perbincangan, khabar angin sahaja!,” katanya.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah itu berkata, senarai tular itu tidak sedikit pun menjejaskan tumpuan mengukuhkan ukhuwah sesama rakan pakatan, selain sengaja ditular untuk menarik perhatian umum.

Phahrolrazi berkata, hanya empat kerusi Dun masih dalam rundingan dan dijangka selesai sebelum 31 Januari ini.

“Bila semua dah selesai dan sepakat, baru diumumkan. Kita perlu muktamadkan dalam tempoh diberikan, dan akan putuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pembahagian kerusi Pakatan Harapan Kedah, minggu depan,” katanya.

Ditanya sama ada sukar mencapai kesepakatan, pihaknya yakin dapat diselesaikan secara muafakat.

“Bukan jadi rebutan, cuma parti terlibat berasakan masing-masing ada kekuatan untuk bertanding dan percaya calon mereka boleh menang. Sebelum 31 Januari ini, semua kerusi termasuk empat Dun yang belum muktamad perlu diselesaikan,” katanya.

Phahrolrazi berkata, selepas mencapai kata sepakat di peringkat negeri, senarai itu akan dibentangkan kepada Pusat untuk persetujuan.

Difahamkan, empat kerusi terlibat adalah Gurun (PKR/DAP), Kulim (Bersatu/PKR/DAP),

Guar Chempedak (Bersatu/Amanah) dan Pantai Merdeka (Bersatu/Amanah).

Mengulas sama ada Bersatu dan Amanah bakal diberikan kerusi sama rata, berdasarkan kekuatan yang ada pada parti itu di Kedah, katanya, tidak ada parti yang dominan selain pastikan jurang perbezaan kouta tidak terlalu besar.

“Dalam Pakatan Harapan, tidak ada ‘big brother’, seperti era Pakatan Rakyat dulu. Agihan dibuat hampir sama rata, tidaklah seperti PRU13, Pas (24) PKR (10). Setiap parti perlu terima realiti kekuatan masing-masing,” katanya.

Ditanya kouta kerusi PKR selaku parti yang lama bertapak di Kedah, katanya, strategi politik melihat kepada beberapa faktor kemenangan, bukan sekadar usia parti.

“Pengembangan PKR di Kedah sejak diwujudkan kurang memberangsangkan, termasuk pengaruh parti itu. Apabila parti baru hadir, kita bekerjasama bina kekuatan,” katanya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");