Aktres kontroversi Fathia Latiff, kesal apabila ada pihak produksi yang sering mencari kesalahan dirinya, kononnya dia kerap lewat ke lokasi penggambaran.
Memetik laporan BH online, Fathia mendedahkan pihak berkenaan dengan mudah membuat penilaian tidak baik terhadapnya tanpa melihat kebaikan dalam dirinya.
“Nak tunggu cerita, watak dan skrip yang bagus, kena tunggu 18 tahun lagi agaknya.
“Selepas itu, datang lambat sikit nak kecoh satu Malaysia. Seolah-olah kamu tidak pernah lambat. (Kalau) Nak cari kesalahan orang, laju saja,” katanya yang meluahkan perasaan terkilannya itu menerusi laman sosial Twitter.
Namun Fathia tidak mendedahkan syarikat produksi terbabit sebaliknya sekadar mengatakan ia bukanlah nama yang begitu dikenali dalam dunia seni tempatan.
Tambahnya, dia berasa pelik dengan sikap produksi berkenaan yang mahu barisan pelakonnya bekerja dengan sempurna, namun, pihak terbabit didakwanya tidak pun menguruskan kerja mereka dengan baik.
“Kalau buat kerja sempurna, tak apalah juga. Sebaliknya mereka buat kerja pun ‘cincai’ (sambil lewa). Sempat lagi nak tuding jari.
“Bukan main mereka nampak keburukan orang lain! Sumbangan, bakat, pencapaian dan kebaikan orang lain buat-buat buta.
“Kalau produksi yang dikenali tak kecoh, produksi kau yang lebih-lebih nampak ‘hauk’ (teruk). Anda boleh mengenakan selebriti lain, tetapi bukan saya,” tegasnya.