KUANTAN: Penduduk di empat daerah di negeri ini diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir.
Ini berikutan ramalan hujan lebat di negeri itu selama tiga hari bermula esok.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, empat daerah terbabit adalah Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran.
Setakat ini, Pekan dan Maran belum pulih daripada banjir sejak seminggu lalu, manakala Kuantan dan Rompin sudah pulih sepenuhnya.
“Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan rendah atau yang rumahnya dinaiki air sebelum ini diminta bersedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir,” kata kenyataan itu, sebagaimana dilaporkan BH Online.
Selain itu, paras air laut di negeri itu juga dijangka naik, selain bergelora bermula Khamis ini hingga Ahad.