Berita Hari Ini

Guru Boleh Tanding Jawatan Politik Tanpa Jejas Tugas Rasmi

KUALA LUMPUR: Guru dari Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding sebarang jawatan politik, namun peraturan itu boleh berubah tertakluk kepada budi bicara Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

Perkara itu jelas dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil.9 Tahun 2010, yang turut menyatakan syarat tambahan yang difikirkan perlu dari semasa ke semasa.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata, mengikut perkara itu juga, kelulusan menyertai politik boleh ditarik balik jika pegawai berkenaan dinaikkan pangkat ke jawatan pentadbiran di mana-mana agensi kerajaan, dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan ke atas atau dikenakan tindakan tatatertib.

Beliau berkata, syarat dikenakan pegawai yang diluluskan untuk menyertai politik perlu selari dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Katanya, kegiatan politik tidak boleh mengganggu tugas rasmi dan tidak boleh menggunakan pengaruh politik bagi menyelesaikan masalah peribadi atau pihak tertentu.

“Selain itu, pegawai tidak boleh menggunakan maklumat rasmi kerajaan, peralatan dan kemudahan pejabat untuk kegiatan politik.

“Mereka juga perlu memohon cuti tanpa rekod jika kegiatan politik membabitkan waktu bertugas.

“Pegawai juga perlu mengisi butiran parti politik seperti nama, bahagian atau cawangan dan nama jawatan dipegang atau bertanding,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman kelmarin berhubung guru dari Gred DG41 hingga DG48 saja dibenarkan aktif dalam politik, namun perlu mendapatkan kebenaran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Azih berkata, pegawai awam diingatkan mereka bukan hak milik mana-mana parti politik dan perlu mematuhi peraturan sudah ditetapkan.

“Mereka boleh bertanding dalam sebarang jawatan politik, tetapi juga perlu akur jawatan mereka di kementerian adalah dilantik kerajaan mengikut prosedur serta syarat sudah dipersetujui ketika menjawat jawatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");