Berita Hari Ini

Harga Ikan, Cili Naik Hingga 40%

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga ikan, udang dan sayur yang mencecah sehingga 30 ke 40 peratus daripada harga asal menyebabkan pasar basah menjadi ‘lengang’ dengan pembeli sejak seminggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Sungai Besi di sini mendapati, ikan kembung dijual pada harga RM18 sekilogram pada hari ini mencatatkan harga ikan itu paling tinggi setakat minggu ini.

Peniaga ikan, Muhammad Lai Abdullah, 58, berkata, harga ikan kembung pada asalnya dijual pada harga RM12 hingga RM14 terpaksa dinaikkan kepada RM18 kerana pembekal menaikkan harga ikan itu.

“Kami peniaga ikan di sini menerima bekalan ikan daripada pembekal dari Pasar Borong Selayang.

“Jika bekalan ikan banyak, harga pun murah tetapi pembekal memberitahu ikan tidak banyak dan kami terpaksa menaikkan harga mengikut kenaikan harga yang dibuat oleh pembekal,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pasar itu.

Sejak semalam, harga ikan dikatakan melambung tinggi berikutan perubahan cuaca dan hujan berterusan menyebabkan ikan kembung terutamanya naik mendadak sehingga RM18 bagi sekilogram.

Katanya, sejak harga ikan, udang dan sotong naik seminggu lalu, tidak ramai pelanggan datang membeli bahkan mereka seakan-akan ‘lari’ apabila melihat harga ikan melambung naik.

“Jika ada pun yang datang, mereka akan memilih ikan paling murah seperti ikan pelaling dan cencaru yang berharga RM10 sekilogram dan membeli dengan bilangan beberapa ekor sahaja malah tidak seperti kebiasaan,” katanya.

Menurut Muhammad Lai, udang kapas atau udang putih (paling kecil) dijual pada harga RM20 sekilogram dan ia dikira mahal sekali gus menyebabkan ia tidak ‘terusik’ langsung apabila ketiadaan pembeli yang berminat untuk membelinya selepas melihat harga yang tertera.

Sementara itu, peniaga sayur, Shukri Pian, 56, berkata, harga sayur akan naik bergantung kepada cuaca dan akan dinaikkan daripada RM2 hingga RM6 sekilogram.

“Faktor hujan menyebabkan petani tidak dapat bekerja seperti biasa dan disebabkan itulah harga sayur juga dijual agak mahal berbanding sebelum ini.

“Harga cili kampung juga telah dinaikkan kepada RM6 menjadikan RM26 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM20 pada minggu lalu tetapi pelanggan akan membelinya juga walaupun dengan kuantiti yang sedikit,” katanya.

Peniaga ayam, Mohd. Zamhor Mohd. Ghaus. 48, harga ayam masih terkawal dan tidak naik serta masih dijual pada harga RM9 sekilogram.

– Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");