BEHRANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini melancarkan My Hot Spot yang pertama dalam negara di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), dekat sini.
Dinamakan My Hot Spot @ PSAS, ia merupakan sebuah kawasan ataupun kompleks bagi penglibatan aktiviti kenderaan saji (food truck) oleh warga PSAS sendiri.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata inisiatif ini merupakan salah satu skop pelaksanaan Food Truck 1Malaysia, di bawah Program Penjaja 1Malaysia (PP1M) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 yang lalu.
“Ini membuktikan bahawa kita mengotakan segala apa yang dijanjikan.
“Menerusi peruntukan sebanyak RM120 juta, untuk tahun ini sahaja, kita sasarkan 100 kenderaan saji, diseluruh negara.
“Saya yajin dengan peluang yang kita berikan ini, ia akan memberi peluang kepada warga di sini untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan,” katanya.
Selain itu jelasnya, pada tahun ini juga kerajaan mensasarkan sebanyak lapan My Hot Spot di seluruh negara.
Tambahnya antara kawasan sasaran seterusnya ialah di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Cheras dan Wangsa Maju, Ibu Negara dan kawasan Pantai Klebang, Melaka.
Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan ia juga kan diwujudkan di kawasan Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak My Hot Spot @ PSAS kepada Koperasi Sultan Azlan Shah Berhad ( KOPSAS), di PSAS, pada Sabtu.
Inisiatif ini juga merupakan kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) antara KPDNKK dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
Untuk tambahan, peruntukan RM120 juta ini memperuntukkan 1000 kendera saji secara total namun pada tahun ini ia menyasarkan sebanyak 100 buah manakala bagi tahun hadapan sebanyak 300 kenderaan saji akan diwujudkan.
600 kenderaan saji pula bagi tahun berikutnya.
Bagi My Hot Spot, pada tahun hadapan, kerajaan akan mewujudkan sebanyak 16 My Hot Spot dan 26 pada tahun berikutnya.