Sukan Hari Ini

Imbuhan RM1,000 Untuk Atlet, Belia

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi imbuhan RM1,000 dalam bentuk caruman Skim Persaraan Swasta (PRS) kepada atlet bawah umur 30 tahun yang merangkul sebarang pingat pada kejohanan sukan antarabangsa, mulai tahun ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pihaknya juga akan memberi RM1,000 kepada penuntut terbaik Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) juga bermula tahun ini.

Katanya, jumlah itu menjadikan kedua-dua kategori menerima keseluruhan RM2,000 iaitu tambahan RM1,000 menerusi Insentif Belia PRS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam pembentangan Bajet 2017.

Beliau berkata, insentif untuk golongan muda berusia 20 hingga 30 tahun itu bagi menjamin pelan persaraan generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) selain mengelak mereka bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata kerana jangka hayat di negara ini semakin meningkat.

“Ambil contoh majoriti daripada akaun KWSP hanya mempunyai nilai RM50,000 ke bawah saja. Kita ada data menunjukkan 90 peratus pencarum KWSP tidak mempunyai cukup wang untuk hidup dalam masa lima tahun selepas bersara.

“Apabila jangka hayat kita meningkat sehingga usia 90 tahun, 30 tahun lagi apa kita akan buat.

“Sebab itulah saya sangat menyokong usaha Pentadbir Pencen Swasta (PPA) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk kita mempromosikan PRS sebagai satu skim simpanan sukarela yang dapat membantu kita daripada bergantung simpanan KWSP semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan TN50 PRS Untuk Belia bertema ‘Simpanan Permulaan Untuk Masa Depan’ di ibu pejabat SC, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SC, Tan Sri Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi PPA, Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Khairy berkata, pihaknya mendampingi jutaan rakyat Malaysia khususnya anak muda di seluruh negara bagi mendapatkan pelbagai input untuk menjayakan TN50.

 

Katanya, ada beberapa aspirasi yang diperoleh itu boleh dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu lama hingga 2050.

 

“Sejak dua minggu lalu, saya sudah melancarkan beberapa aspirasi berkaitan antaranya aplikasi tapisan Internet dan lokasi tempat kerja masa depan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");