Perak Hari Ini

Implan Koklea Beri Kehidupan Baru Pada Eric Leong

IPOH:Gaya dan tingkah lakunya seperti kanak-kanak normal yang lain,namun Eric Leong menderita masalah pendengaran sejak berusia dua tahun.

Ibunya Chang Kah Lai,38 berkata penyakit tersebut mula dikesan olehnya apabila anaknya itu tidak memberikan sebarang respon terhadap bunyi yang kuat serta ketika namanya dipanggil.

Berkongsi cerita mengenai pembedahan pemasangan implan koklea yang berjaya dilakukan kepada Eric Leong di Hospital KPJ Ipoh, kata Chang Kah Lai tiada yang lebih menggembirakan dirinya sebagai seorang ibu untuk melihat anaknya menjadi normal seperti kanak-kanak lain.

“Semestinya saya gembira apabila anak saya berjaya menjalani pembedahan dan kini mampu memberi respon terhadap saya seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui pada satu sesi sidang media di KPJ Ipoh hari ini.

Kakak kepada Eric, Jennie Leong 10 tahun, turut mengalami masalah pendengaran dan kini memakai implan koklea pada kedua-dua belah telinganya.

Katanya lagi, biarpun perlu berbelanja besar untuk pembedahan tersebut namun demi melihat anaknya membesar seperti kanak-kanak normal yang lain segalanya sudah mencukupi baginya yang berkerja sebagai seorang guru.

Terdahulu baru-baru ini, KPJ Ipoh telah menyambut kejayaan pembedahan pemasangan implan koklea ke atas seorang pesakitnya, Eric Leong yang berusia empat tahun.

Pada hari ini juga, alat pendengaran canggih yang dipakai oleh Eric Leong diaktifkan dan dia telah mendengar bunyi setelah menjalani pembedahan pada 19 Disember lalu.

Pembedahan tersebut merupakan kejayaan pertama Hospital KPJ Ipoh yang diketuai oleh pakar bedah perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Ahli Otologi Dr Philip Rajan.

Sementara itu menurut Pengarah Perubatan dan Pakar Bedah Telinga, Hidung,Tekak, Kepala dan Leher (ENT) KPJ Ipoh Specialist Hospital, Dr Luis Chen pembedahan implan koklea tidak berisiko tinggi malah ia merupakan peluang untuk membantu pesakit mendengar semula.

“Implan bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran adalah sesuai sebelum mereka mencecah usia tiga tahun kerana dalam tempoh itu mereka sedang belajar bertutur dengan baik,” katanya.

Katanya kini, pesakit tidak perlu berulang ke hospital di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk pembedahan tersebut kerana pihak KPJ Ipoh menyediakan perkhidmatan perubatan yang menyeluruh serta berpatutan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");