Sukan Hari Ini

‘Jangan Biarkan TMJ Bersendirian’

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menegaskan bahawa kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membayangkan beliau tidak akan kekal lama menduduki kerusi panas itu sebagai isyarat jelas kepada semua warga FAM yang seharusnya tidak boleh hanya berpeluk tubuh.

Beliau berkata, semua pihak dalam badan induk itu tidak harus membiarkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menanggung beban secara berseorangan sebaliknya perlu bersama-sama berusaha dalam melakukan perubahan yang diinginkan.

“Saya sudah melihat video kenyataan TMJ itu, saya melihat ia lebih kepada gurauan. Tapi jika TMJ serius dengan kenyataan itu, pada saya ia satu isyarat jelas kepada semua warga FAM supaya berusaha lebih keras dalam mencapai pembaharuan dan kejayaan.

“Semua pihak perlu berikan kerjasama dan sokongan. Saya tidak lihat buat masa ini ada individu lain yang lebih baik untuk menggantikan TMJ di FAM,” katanya, menerusi laporan BH Online, hari ini.

Baru-baru ini, Tunku Ismail dalam kenyataan menerusi video di laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers (JST) menyatakan mahu melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM dan secara berseloroh menggesa ‘Superman’ menjadi pemimpin baru badan induk persatuan itu.

Yusoff mendakwa, ada pihak yang dilihat sengaja menanam kebencian orang ramai terhadap Tunku Ismail.

“Saya melihat kebanyakan penyokong-penyokong suka menghentam dan tidak lihat sesuatu perkara itu secara realistik. Mungkin sikap menghentam tanpa asas membuat baginda menjadi semakin menyampah (menjadi Presiden FAM).

“Kita sepatutnya berikan Tunku Ismail masa dan ruang, bukannya mengkritik tanpa sebab kerana saya percaya baginda adalah tokoh paling tepat mengemudi FAM,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");