Isu Panas

Jangan Terpengaruh Kempen Undi Rosak

BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan kempen undi rosak yang ditularkan oleh pihak tertentu dengan tujuan merosakkan proses demokrasi di negara ini.

Katanya, tindakan pihak berkenaan yang mahu menjadi ‘third force’ atau kuasa ketiga pada pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya semata-mata untuk merosakkan pilihan raya itu.

“Kita harus melihat bahawa pada hari pengundian, sama ada (pemilih) undi kerajaan sedia ada atau tidak (itu) hak masing-masing tetapi demokrasi mesti dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada perasmian Fiesta Ponggal Bagan Datuk di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang dekat sini, hari ini.

Beliau juga berkata daripada dirosakkan, ada baiknya undi itu diberikan kepada calon BN bagi memastikan BN dapat terus menyambung khidmat bakti kepada semua kaum di negara ini.

Kempen #Undi Rosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU yang kini tular menerusi laman sosial mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada PRU akan datang dengan penggeraknya dilaporkan memberi alasan tiada beza sama ada BN atau Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyeru masyarakat India di kawasan tersebut agar memberi sokongan penuh kepada BN supaya lebih banyak pembangunan terutamanya untuk mereka dapat dilaksanakan.

“Saya mendapatkan peruntukan untuk membina kuil Hindu di tanah kerajaan, saya fikir soal agama adalah hak individu, (namun tetap) kita akan bantu.

“Banyak lagi telah kita lakukan, semua sekolah Tamil kita bantu, tidak perlu surat permohonan, saya (tetap) hantar bantuan tolong sekolah-sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata tempat pembakaran mayat yang siap dibina di Hutan Melintang baru-baru ini adalah untuk kegunaan masyarakat India tanpa mengira parti politik.

“Parti-parti kerajaan atau pembangkang mari duduk bersama, ini (tempat pembakar mayat) hak kita bersama, mari kita urus bersama,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");