Jenayah

Jual Laksa Mengandungi Bahan Pengawet Terlarang, Syarikat Didenda RM10,000

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengilang makanan, EHH Food Industry Sdn Bhd hari ini didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjual laksa mengandungi bahan pengawet tidak dibenarkan, yang boleh menyebabkan penyakit kanser.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman terhadap syarikat itu yang diwakili penyelia operasinya, Oh Ching Hai selepas dia mengaku bersalah menjual tiga bungkus laksa pendek jenama Cap Kunci mengandungi bahan pengawet asid benzoik yang tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Syarikat itu yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) melakukan kesalahan itu  di sebuah pasar raya di Jalan Metro Prima, Kepong di sini pada jam 10 pagi, 22 Ogos 2017 mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Memetik laporan Bernama, Mahkamah turut memerintahkan harta syarikat itu bernilai RM10,000 disita jika denda gagal dibayar.

Syarikat berkenaan, yang tidak diwakili peguam, membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai serbuan kesihatan telah pergi ke pasar raya berkenaan dan membeli tiga bungkus laksa pendek dengan bayaran sebanyak RM5.40 bertujuan untuk dianalisis.

Laporan juruanalisis menunjukkan laksa itu mengandungi asid benzoik sebanyak 514mg/kg iaitu sejenis bahan pengawet yang tidak dibenarkan dalam makanan dan pemeriksaan juga mendapati syarikat EHH Food Industry tidak mematuhi Akta Makanan 1985 kerana menjual makanan mengandungi asid benzoik.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Rosli Arsyad Mohd Jaafar memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap syarikat itu atas alasan  kepentingan orang awam.

“Asid benzoik merupakan bahan pengawet yang tidak dibenarkan yang boleh menyebabkan kerengsaan, asma dan penyakit kanser jika dimakan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Syarikat itu bagaimanapun memohon hukuman denda yang rendah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");