Berita Hari Ini

Jutawan Kosmetik Didakwa Mungkir Janji

PETALING JAYA: Niat baik seorang lelaki untuk membantu seorang usahawan kosmetik menjejaki bekas pekerjanya yang dipercayai mencuri wang tunai dan barang kemas bagaikan tidak dihargai apabila ahli perniagaan itu didakwa mungkir janji.

Lelaki dari Klang, Selangor yang ingin dikenali sebagai Abu itu meluahkan rasa kecewa dan marah kepada jutawan berstatus Datuk kerana bertukar fikiran sebaik sahaja kedua-dua suspek berjaya ditahan pihak polis.Abu mendakwa, dia telah menghubungi Datuk tersebut menerusi aplikasi pesanan peribadi Instagram untuk memaklumkan mengenai lokasi bekas pekerjanya itu pada 12 Januari lalu.

“Datuk itu tidak baca mesej saya, jadi saya hubungi pembantu peribadinya pula.

“Pembantu peribadi Datuk itu menyuruh saya menghantar gambar kedua-dua suspek untuk mengesahkan mereka adalah bekas pekerja yang dimaksudkan,” katanya.

Dakwa Abu, pembantu peribadi tersebut mengesahkan gambar yang dihantar olehnya menerusi aplikasi Whatsapp adalah pasangan suami isteri yang mencuri barangan milik Datuk tersebut sekitar pertengahan tahun lalu.

Abu kemudiannya mendakwa dihubungi oleh pihak polis bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung lokasi terkini pasangan terbabit.Kedua-dua suspek berjaya ditahan pada hari yang sama iaitu pada Isnin lalu.

“Sebelum saya berkongsi maklumat itu kepada pembantu peribadi Datuk berkenaan, saya sudah tanyakan sama ada ganjaran sebanyak RM5,000 itu masih ada.

“Dia meyakinkan saya supaya jangan risau, namun selepas suspek berjaya diberkas, dia mengatakan ganjaran itu tidak dapat diberikan pula,” ujarnya ketika menghubungi mStar Online.

Bagaimanapun dakwa Abu, pihak pengurusan Datuk tersebut hanya bersetuju untuk menawarkan wang saguhati bernilai RM300 kepadanya berbanding ganjaran asal bernilai RM5,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan S. Somu ketika dihubungi mengesahkan bahawa tangkapan dibuat berdasarkan maklumat orang awam.

“Pemberi maklumat belum dikenal pasti dan boleh tampil serta berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” ujarnya ringkas.

Pihak portal berita ini juga akan mendapakan komen usahawan kosmetik berkenaan untuk mengimbangi laporan berhubung isu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");