Berita Hari Ini

Kajian Penganugerahan Gugur Automatik Jika Langgar Undang-Undang – Tengku Abdullah

PEKAN: Semua nama yang dicadangkan untuk menerima darjah dan pingat kebesaran Pahang perlu menjalani saringan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah perkara itu dijadikan prosedur operasi standard (SOP) baharu penganugerahan yang perlu dipatuhi sebelum baginda berkenan nama individu tersebut selaku penerima.

“Saya juga akan membuat kod etika yang perlu dipatuhi oleh mereka (penerima darjah dan pingat)…tak perlu untuk saya sentiasa mengingatkan penerima supaya menjaga kelakuan mereka.

“Kajian juga akan dilakukan supaya penganugerahan ini akan gugur secara automatik jika mereka didapati bersalah melanggar undang-undang,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, Sabtu.

Baginda juga mengingatkan semua penerima darjah dan pingat Pahang untuk menjaga kelakuan dan kemuliaan pengiktirafan itu kerana tidak mahu ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

“Mungkin saya tidak ada kuasa untuk mencegah perkara ini secara terus, tapi anggap ini sebagai ingatan. Terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara penerima itu sendiri.

“Anggap ini (darjah dan pingat) sebagai satu pengiktirafan kepada mereka kerana telah berjasa dan memberi sokongan di Pahang. Institusi Diraja Pahang mahu mendampingi rakyat dan menghargai apa juga sumbangan yang telah diberikan.

“Kita bukan kedekut. Jika kita kedekut, kita tidak beri pengiktirafan…kita simpan sahaja semua darjah dan pingat kebesaran,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah baginda juga berlapang dada jika ada mana-mana penerima berhasrat untuk memulangkan pengiktirafan yang diterima ‘jika merasakan darjah dan pingat itu terlalu berat untuk dijaga’.

“Tapi setakat ini tiada seorang pun yang memulangkan… Saya juga tidak suka untuk tarik (pengiktirafan yang telah diberi) tetapi jika terpaksa, saya akan buat…jangan cuba tunjuk kuasa,” titahnya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pula mengingatkan semua penerima supaya menyedari bahawa penganugerahan itu adalah hak mutlak Sultan yang tidak boleh dipertikaikan.

“Ini bukan satu hiasan tapi suatu pengiktirafan yang perlu dihargai…oleh itu jaga kemuliaan dan pengiktirafan yang telah diterima,” katanya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");