Berita Hari Ini

‘Kami Ingatkan Bom’

SEPANG: “Kami ingatkan bom tetapi rupa-rupanya tingkat mezanine bangunan Bursa Efek Indonesia (BEI) yang runtuh,” begitulah ungkapan pertama kumpulan rakyat Malaysia yang berada di bangunan terbabit.

Wakil kumpulan terbabit, Nur Lalua Rashidah Mohd Rashid, berkata ketika kejadian beliau dan rakannya berada dalam bilik seminar kerana sedang diberi taklimat oleh pihak penganjur.

“Kejadian berlaku sekitar jam 11.55 pagi kerana pada waktu itu juru acara majlis sedang mengumumkan bahawa seminar berkenaan akan berhenti rehat untuk makan tengahari.

“Beberapa peserta sedang beratur untuk keluar dari dewan dan pada ketika itulah bunyi dentuman yang kuat menyebabkan kami menganggap bangunan ini dibom,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Seramai tujuh lagi warga Malaysia tiba bersama Lalua di KLIA sebentar tadi manakala bakinya dijangka tiba secara berperingkat dalam masa terdekat menaiki penerbangan lain.

Isnin lalu, Tingkat Mezanine Menara 2 BEI di Jalan Jenderal Sudirman, Senayan, Bahagian Tengah Jakarta di Indonesia runtuh pada waktu rehat urus niaga, menyebabkan berpuluh orang awam cedera akibat runtuhan itu.

Lalua berkata beberapa peserta dari Malaysia turut keluar dari bilik seminar untuk makan tengahari, namun mereka terselamat kerana berhenti sekejap untuk berborak dengan ahli keluarga yang turut serta dalam rombongan terbabit.

“Selain Malaysia, beberapa negara lain juga turut menyertai pertandingan Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 dengan Malaysia diwakili oleh Management Science University, merangkumi 15 orang pelajar selain tiga orang pensyarah dan empat orang ahli keluarga.

“Kami juga bernasib baik kerana permohonan untuk melawat sekitar bangunan ditolak oleh pihak pengurusan BEI kerana ada program lain yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

Lalua memaklumkan, selepas terperangkap dalam runtuhan bangunan itu lebih kurang 30 minit, mereka berjaya diselamatkan dan dibawa ke bangunan CIMB Niaga untuk berehat serta diberikan makanan.

“Alhamdulillah, kami tidak mengalami trauma yang teruk walaupun melihat keadaan mangsa lain yang tercedera agak teruk sehingga ada yang terkeluar tulang.

“Keadaan dalam kawasan itu juga agak kelam kabut kerana pihak keselamatan dan perubatan sedang bertungkus lumus untuk mengawal keadaan serta menyelamatkan mangsa,” katanya.

Lalua turut memaklumkan, Malaysia mendapat tempat keempat dalam pertandingan terbabit dan membawa pulang hadiah wang tunai RM9,875.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");