MANJUNG:Kerajaan Negeri akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah dihadapi Sekolah Agama Rakyat An-najah di Taman Samudera Sri Manjung di sini berikutan bilik darjah sedia ada tidak mencukupi menampung murid yang sudah berjumlah seramai hampir 600 orang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terdahulu telah hadir ke sekolah tersebut bagi meninjau sendiri masalah dihadapi pihak pengurusan sekolah.
Katanya, berikutan jumlah pelajar yang mencecah hampir 600 orang pihak pengurusan sekolah terpaksa menyediakan sebanyak dua sesi pembelajaran bagi menampung keperluan pelajaran murid kini.
“Saya melihat sendiri keadaan persekolahan kanak-kanak di sekolah ini dan mendapati ia satu kawasan yang padat dengan penduduk malah tiga blok sekolah ini tidak mencukupi,kita masih mempertimbangkan sama ada kaedah blok sedia ada dibaikpulih atau terdapat lokasi tapak baru.
“Kita perlu mencari peruntukan dan tidak mahu hanya berjanji tetapi tidak melaksanakannya datang tengok dan cari jalan selesaikan masalah mereka,” katanya selepas melawat kawasan sekitar sekolah dan berpeluang menikmati makan tengah hari bersama kakitangan sekolah di sini hari ini.
Katanya lagi, Sekolah Agama Rakyat An-najah masih memerlukan 9 buah kelas bagi memastikan agar sesi persekolahan dapat dilaksanakan pada satu sesi sahaja.
“Setakat ini hanya ada 9 kelas sahaja jadi ia tidak mencukupi ditambah lagi jumlah pelajar yang melebihi daripada jumlah bilik darjah sedia ada,”katanya.
