Berita Hari Ini

Kerajaan BN Komited Bantu Rakyat Miliki Rumah – Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, isu perumahan mampu milik sentiasa menjadi fokus utama kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila pelbagai inisiatif dilaksanakan sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya menerusi peruntukkan dana adalah bagi merealisasikan aspirasi rakyat merangkumi segenap lapisan masyarakat.

Katanya, dalam pembentangan Bajet 2018, sejumlah RM2.2 bilion diperuntukkan bagi meneruskan usaha menyediakan perumahan untuk semua.

“Bagi golongan berpendapatan rendah atau B40, kerajaan melaksanakan, antaranya; Program Perumahan Rakyat yang disewakan atau dijual pada harga amat rendah antara RM35,000 hingga RM42,000, dengan kos selebihnya dibiayai subsidi kerajaan.

“Terdapat juga Rumah Idaman Rakyat yang dibina atas tanah kurniaan kerajaan negeri atau Persekutuan pada harga tidak melebihi RM350,000 dengan jualan diutamakan kepada pembeli Orang Kelainan Upaya (OKU) atau ibu tunggal.

“Selain itu, bagi golongan berpendapatan 40 peratus sederhana atau M40, kerajaan menyediakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina di kawasan strategik di seluruh negara dan dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000,” katanya menerusi entri terbaharu blog NajibRazak.com pada Ahad lapor Berita harian.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, terdapat juga Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) berharga RM63,000 hingga RM300,000 yang menyasarkan rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan yang ingin membeli rumah pertama mereka.

Dalam masa sama, Najib berkata, perumahan untuk penjawat awam turut diberi perhatian apabila kerajaan melaksanakan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

“PPA1M disediakan terutamanya buat penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana yang dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit,” katanya.

Dalam usaha membantu rakyat memiliki rumah, Perdana Menteri berkata, memperkenalkan pelbagai skim antaranya Skim Rumah Pertamaku yang dilaksanakan bagi membantu golongan muda baru bekerja dengan pendapatan kurang RM5,000 untuk mendapat pembiayaan 100 peratus.

Najib berkata, ini bermakna mereka tidak perlu membayar wang pendahuluan atau deposit.

Terbaharu, beliau juga pernah mengumumkan skim MyDeposit, di mana kerajaan membantu golongan yang ingin membeli rumah tetapi tidak mempunyai wang pendahuluan dengan membayar deposit tersebut bersamaan 10 peratus daripada nilai rumah di bawah RM500,000 atau sehingga jumlah maksimum RM30,000.

“Ini sebahagian daripada banyak lagi inisiatif yang telah kerajaan laksanakan…Kesemuanya atas dasar keprihatinan kerajaan kepada keinginan dan keperluan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri daripada golongan berpendapatan rendah kepada golongan berpendapatan sederhana.

“Malah juga kepada mereka yang mungkin tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar deposit. Semua golongan diberikan perhatian, tiada yang ketinggalan.

“Namun, malang sekali, seperti juga nasib yang menimpa BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Klinik 1Malaysia, subsidi pendidikan dan kesihatan serta bantuan-bantuan kerajaan lain, kesemuanya dijadikan modal politik murah oleh pembangkang,” katanya.

Nasihat kepada golongan itu adalah daripada terus menyebarkan berita palsu serta fitnah memburukkan kerajaan, Najib berharap mereka buat kerja yang bermanfaat demi kebaikan rakyat.

“Uar-uarkan skim perumahan ini kepada rakyat, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri.

“Janganlah kerana nama pembangkang, segala-galanya pun ingin dibangkang. Inisiatif dan usaha baik yang kerajaan laksanakan, panjangkanlah kepada rakyat. Walaupun pembangkang tak berupaya laksanakan dan tak dapat buat tetapi sekurang-kurangnya boleh bawa rakyat kepada mereka yang berupaya deliver (sampaikan), yakni Barisan Nasional,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");