Membawang Hari Ini

Kerajaan Peka Nasib Karyawan Seni

PETALING JAYA: Kementerian melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) prihatin dengan masalah dihadapi penggiat seni dan karyawan tempatan serta berusaha meringankan beban ditanggung masing-masing.

Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob berkata, kerajaan sentiasa peka dengan nasib karyawan seperti masalah kesihatan dihadapi pelakon, Khalid Salleh, dan komposer, Datuk Ooi Eow Jin.

“Sejak dulu, FINAS memang ada membantu karyawan kurang berkemampuan dan sebagainya. Kini, kita bekerjasama pula dengan persatuan seni bagi mengesan karyawan yang berdepan masalah.

“Kita sentiasa berharap dapat membantu golongan seni, namun bukan dari aspek kebajikan semata-mata. Malah, kita sedang mengemaskini data keahlian persatuan bagi mengesan ahli yang berada dalam kesusahan, seperti dialami dua penggiat industri terbabit,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Fauzi berkata demikian ketika meluangkan masa melawat Eow Jin di kediamannya, di sini hari ini. Sejumlah sumbangan turut disampaikan kepada komposer veteran yang menghidap penyakit Alzheimer itu.

Turut sama dalam kunjungan itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez dan seniwati, Datuk Sarimah Ahmad.

Fauzi berkata, tahun lalu, kementerian melalui FINAS sudah menyalurkan kira-kira RM50,000 kepada 30 penggiat industri yang berdepan masalah.

“Tahun lalu juga, kita mengadakan 40 program bersama persatuan seni, membabitkan peruntukan RM1.5 juta. Tahun ini, banyak lagi program bermanfaat dapat dirangka bagi membantu persatuan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, Eow Jin akan ditempatkan di pusat jagaan Alzheimer di Cheras, minggu ini, bersama-sama anaknya, Ronny, 54, yang turut menghidap penyakit sama.

“Kita lega dengan tawaran diberikan pusat jagaan itu. Ia pasti dapat meringankan beban isterinya, Datin Elaine Khaw, yang kini menguruskan mereka seorang diri. Kos untuk penempatan kedua-duanya dianggarkan RM6,000 sebulan,” katanya.

Selepas lawatan itu yang juga kunjungan pertama KARYAWAN menziarahi insan seni kurang bernasib baik bagi tahun ini, Freddie berkata, dalam masa terdekat mereka akan melawat pula penyanyi yang juga pelakon veteran, Siti Aminah Ismail atau Mimi Loma.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");