Isu Panas

Kerajaan PP Didakwa Kelirukan DUN

GEORGETOWN: Kerajaan negeri pimpinan DAP didakwa mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan rakyatnya apabila menjelaskan tidak membuat pembayaran awal bagi kos kajian projek tiga lebuh raya kepada syarikat perunding.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata ia susulan beberapa kenyataan bercanggah dikemukakan kerajaan negeri di beberapa sidang DUN Pulau Pinang dan pada sidang akhbar Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini.

“Pada 30 April 2015, kerajaan negeri memberitahu DUN bahawa kajian kebolehlaksanaan bagi projek tiga lebuh raya sudah 97 peratus siap, manakala reka bentuk terperinci (75 peratus).

“Pada 19 Mei lalu kerajaan negeri pula memaklumkan kepada DUN bahawa sudah membayar RM208 juta kepada syarikat perunding melalui pertukaran tanah pada 17 Februari 2015 selepas kerja bagi kajian itu siap sepenuhnya pada Mei 2015.

“Bagaimanapun, Guan Eng pada sidang medianya pada 11 Januari lalu, menyatakan kerajaan negeri tidak membuat sebarang pembayaran kepada syarikat perunding, selagi kelulusan bagi laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) belum diterima.

“Ia sekali lagi bertentangan dengan sidang media Guan Eng semalam, yang menyatakan kelulusan laporan EIA bagi projek tiga lebuh raya itu hanya diperoleh hujung tahun lalu dengan surat rasmi mengenainya masih belum diterima kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tiga lebuh raya itu membabitkan laluan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eeu sepanjang 5.7 kilometer (km); laluan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53 km) dan Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eeu (4.1 km).

Tiga lebuh raya itu adalah sebahagian daripada projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 km dianggar bernilai RM6.3 bilion, yang akan menghubungkan Persiaran Gurney di sini, ke Bagan Ajam di Butterworth.

Pada masa sama, Chang Yeow yang juga Pengerusi GERAKAN negeri, menafikan dakwaan Guan Eng bahawa BN adalah pihak yang cuba mensabotaj projek itu, sekali gus mengakibatkan kelewatan pelaksanaannya.

Sebaliknya, beliau berkata, BN hanya mempersoal pelbagai persoalan berbangkit berhubung projek itu yang dikatakan berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan negeri dalam menentukan jawapan balas dan jangkaan bagi keseluruhan pelaksanaannya.

“Pada 30 April 2015, kerajaan negeri memaklumkan kepada DUN Pulau Pinang bahawa jangkaan bagi projek tiga lebuh raya ini siap sepenuhnya adalah antara tahun 2016 hingga 2020.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri menukar kenyataannya kepada DUN, pada 19 Mei lalu, dengan menyatakan bahawa projek ini dijangka dibina pada pertengahan 2018. Justeru, siapa punca kepada kelewatan pelaksanaannya?” katanya.

Mengulas lanjut, Chang Yeow berkata, BN tidak pernah mensabotaj projek terbabit, mahu pun mengemukakan permohonan di mahkamah atau membentang usul di DUN bagi menghalang pelaksanaannya.

“Kita bukan seperti wakil DAP pada suatu ketika dahulu mensabotaj pelaksanaan projek Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dengan membentang usul untuk menghalang pelaksanaanny di DUN.

“Justeru, Kerajaan DAP Pulau Pinang seharusnya mengakui kelemahan pentadbiran sendiri, selain menyatakan bahawa mereka adalah pihak yang mensabotaj pelaksanaan projek terbabit dan bukannya BN,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");