Berita Hari Ini

Kerajaan Terengganu Sediakan Bidang Kemahiran Bantu Golongan Mak Nyah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan membantu golongan mak nyah yang mahu mengubah hidup mereka ke arah yang lebih positif bagi mengikuti pelbagai bidang kemahiran untuk mencari punca pendapatan yang tetap, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata dengan langkah itu diharap dapat membantu golongan itu daripada terjerumus kembali dalam kegiatan tidak bermoral.

Dengan itu, ia dapat menangkis tohmahan masyarakat yang sering menganggap golongan mak nyah banyak terlibat dalam kegiatan negatif termasuk pelacuran dan penyalahgunaan dadah.

“Kumpulan ini akan dibawa menyertai satu kursus untuk diberi pendedahan dan kemahiran keusahawanan yang bersesuaian. Sekurang-kurangnya 20 peserta akan menyertainya di peringkat pertama ini sebelum ia diperluaskan.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk membantu mereka menjadi modal insan berkualiti yang mampu memberi sumbangan bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada masyarakat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Temu Murni bersama kira-kira 100 orang mak nyah dari kawasan Pantai Timur, semalam lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, seorang daripada mak nyah yang kini telah bertaubat yang mahu dikenali sebagai Che Mat berkata inisiatif kerajaan negeri membantu golongan berkenaan amat dialu-alukan.

Katanya ada di kalangan mereka mahu berubah dan meninggalkan kehidupan ‘hitam’ mereka namun tidak tahu saluran yang betul untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih positif.

“Kita mahu bukan setakat bagi duit sahaja tapi pihak yang berkaitan kena pantau ‘rakan-rakan’ saya ini supaya apabila mereka berjaya kelak ia akan menjadi contoh kepada yang lain-lain,” katanya yang berasal dari Chabang Tiga di sini.

Seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Marina mahu masyarakat membuang persepsi negatif terhadap golongan itu dan memberi memberi ruang dan peluang kepada golongan itu meneruskan hidup seperti orang lain.

“Kita juga berharap agar media massa juga tidak lagi menceritakan hal yang bukan-bukan, cerita keburukan mengenai golongan ini. Sekarang ini Yb (Ghazali) dah jumpa kami dan tahu apa yang kami mahukan… jadi kita harap satu perubahan yang lebih baik akan berlaku pada golongan ini kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");