Perak Hari Ini

Larut British Malaya, Beri Impak Ekonomi Dan Tarik Pelancong Ke Taiping

IPOH:Kejayaan penganjuran Larut British Malaya yang berjaya menarik lebih 75,000 pengunjung sempena Tahun Melawat Perak 2017 di Cross Street No. 2, Jalan Kota di Taiping pada Disember 2017 yang lalu terbukti berjaya menarik kehadiran pelancong serta meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata program yang berlangsung bermula 25 hingga 31 Disember itu telah dianjurkan secara besar-besaran untuk menarik lebih ramai pelancong ke kluster Pelancongan Taiping dan Larut Matang.

“Ia adalah satu strategi yang unik bagi menarik penyertaan pengunjung dari dalam dan luar negara program apabila membawa satu kelainan dengan mengimbau kembali sejarah Larut British Malaya serta berkongsi pelbagai acara bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk datang melihat budaya dan sejarah yang telah berlaku di kawasan tersebut.

“Malah ia juga dapat mempertingkatkan ekonomi rakyat apabila acara ini telah berjaya menarik lebih 75,000 pengunjung yang pastinya telah membawa pulangan ekonomi kepada peniaga tempatan begitu baik sekali,” katanya kepada media setelah hadir merasmikan majlis penghargaan sempena program Larut British Malaya di sini hari ini.

Turut disampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori fotografi, explorace dan tourism market pada penganjuran program tersebut.

Jelas Nolee lagi, selain bertepatan dengan matlamat sempena Tahun Melawat Perak 2017 para peniaga kecil yang menyertai program tersebut berupaya menjana pendapatan sekitar RM6,000 sehari.

“Program ini membawa pembaharuan dalam kluster Pelancongan di Taiping dengan memberi peluang pengunjung mengimbau sejarah masa lalu seperti yang diamalkan oleh negara luar seperti Amerika yang melakokan semula dan memberi peluang kepada generasi muda bersama merasai apa yang berlaku pada masa lalu,” katanya.

Mengulas sama ada Larut British Malaya bakal dijadikan acara tahunan jelas Nolee perkara tersebut masih didalam tempoh perbincangan dan berkemungkinan sesuai dijadikan acara tahunan,dwi tahunan atau secara kecil-kecilan setiap bulan bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai sejarah yang berlaku.

Sementara itu, Adun Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata program tersebut masih memerlukan penambahbaikan dan pertambahan idea untuk dilaksanakan kelak.

“Malaya moden ini bermula di kawasan Taiping dan ia tidak patut dilupakan mungkin program ini boleh dianjurkan sebagai satu produk pelancongan bersifat bulanan atau bermusim seperti cuti sekolah dengan tema yang berbeza seperti zaman Jepun,” katanya.

Katanya kerjasama agensi lain diperlukan selain mengemaskini pengisian program ini supaya ia bukan sahaja mencapai sasaran di peringkat nasional juga bertaraf antarabangsa.

Program yang berlangsung selama seminggu itu telah menyajikan pelbagai acara menarik untuk pengunjung seperti District Tourism Market, International Explorace From Taiping With Love, International Mangrove Photography dan International Heritage Costume.

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");