Jenayah

Lelaki Direman Cuba Jual Emas Palsu

ARAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai cuba memperdaya pemilik sebuah kedai emas di sini, dengan menjual seutas rantai emas palsu yang didakwa milik rakan isterinya.

Lelaki berusia 23 tahun itu menggunakan resit yang didakwa bukti pembelian dan kad pengenalan dikatakan pemilik rantai emas berkenaan untuk meyakinkan pemilik kedai ketika mengunjungi premis untuk berurus niaga kira-kira jam 5 petang semalam.

Helah itu bagaimanapun gagal apabila berat barang kemas tertera pada resit didapati berlainan dengan rantai emas dibawa, sebelum ujian ketulenan dibuat mengesahkan ia palsu.

Pemilik kedai emas berusia 31 tahun yang enggan namanya didedahkan, mengaku tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya kerana lelaki itu mengemukakan resit sebagai bukti pembelian, selain kad pengenalan seorang wanita yang didakwa pemilik rantai berkenaan.

“Saya mula mengesyaki ada tidak kena apabila memegang rantai emas itu kerana beratnya tidak sama dengan yang ditulis pada resit, lalu membuat ujian ketulenan emas dan mendapati ia palsu.

“Saya terus menghubungi polis yang kemudian menahan lelaki itu. Jika tidak membuat ujian ketulenan, saya mungkin tertipu dan kerugian hampir RM5,000,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Suspek yang berasal dari Semporna, Sabah, kini direman empat hari bermula hari ini hingga 28 Januari bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek juga memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");