Jenayah

Lelaki Pecah Masuk Tokong Ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki bertatu di kedua-dua tangannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian ceroboh di sebuah tokong di Jalan Kampung Manggis, Permatang Tinggi di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kedai mencuci kenderaan di Jalan Rozhan, di sini kira-kira 1.30 pagi Ahad.

“Dalam kejadian kira-kira 1 petang Jumaat lepas, penjaga tokong berkenaan berusia 60 tahun membuat laporan polis selepas mendapati kunci mangga pada pintu jeriji tokong diumpil.

“Pemeriksaan mendapati dua unit lampu minyak tembaga milik tokong bernilai kira-kira RM2,500 hilang manakala terdapat kesan potong pada peti besi yang menyimpan wang derma tetapi duit tidak sempat dicuri,” katanya pada Ahad lapor Bernama.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup dalam tokong yang sudah beroperasi lebih 30 tahun itu, mendapati seorang lelaki menaiki sebuah motosikal memecah masuk rumah ibadat berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata suspek dipercayai masuk melalui pagar hadapan tidak berkunci dan memecahkan mangga stor menyimpan barang tokong, dan semasa kejadian tiada penjaga dan orang bersembahyang di situ.

Susulan kejadian itu, beliau berkata polis menahan lelaki berkenaan dan merampas satu bongkah berwarna kuning dan berlambang serta berukiran naga.

“Selain itu, polis turut merampas beberapa barangan lain termasuk sebuah motosikal digunakan dalam kejadian berkenaan serta sebuah topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kami sedang siasat sama ada ia digunakan untuk menyamar sebagai polis,” katanya.

Beliau berkata polis juga sedang mengesan dua unit lampu tembaga yang dicuri itu dan ia dipercayai telah dijual.

Katanya lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta dan mempunyai enam rekod lampau itu kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");