Perak Hari Ini

Lepak Santai Di Bandar Pelancongan Dan Maritim

LUMUT: Taman Awam Lumut Waterfront meliputi kawasan seluas 7.4 ekar dan terletak berhadapan dengan Selat Dinding menyediakan ruang terbuka untuk anda bersantai bersama seisi keluarga.

Taman Awam Lumut Water Front yang terletak di persisiran muara sungai Dinding dan bersebelahan dengan “Lumut Yacht Club” ini telah dirasmikan pada 29 November 2004 oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah pada waktu itu, mempunyai panorama yang sungguh menarik berikutan kedudukannya yang menghala ke kuala Sungai Dinding dan Sungai Sitiawan.

Konsep pembangunan taman awam persisiran pantai di Bandar Lumut telah diilhamkan daripada pergerakan hidupan laut jadi tidak hairanlah pelbagai replika hidupan hidup memenuhi ruang taman ini.

Taman awam ini juga seolah-olah menceritakan tentang kehidupan laut yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dan ia diadaptasikan kepada pergerakan pengunjung taman dengan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi yang disediakan.

Difahamkan rekabentuk taman ini mempunyai kesinambungan dengan laut yang akan menjadi tarikan utama kepada para pengunjung dan mengintegrasikan pembangunan di kawasan persekitaran dengan faktor semulajadinya.

Taman awam ini juga menerapkan unsur-unsur ilmiah di mana mendidik pengunjung untuk mengenali dan menghargai keindahan alam dan sekitarnya.

Konsep landskapnya menggambarkan taman ini amat sesuai untuk aktiviti riadah apabila dilengkapi dengan dua buah kiosk dan lima buah gerai yang beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 12 malam.

Majlis Perbandaran Manjung turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti kedai cenderamata, kedai makan, kiosk, tandas awam, tong sampah, papan tanda, laluan pejalan kaki, tempat letak kereta, pondok, taman permainan kanak-kanak dan pusat maklumat pelancongan.

Kaki pancing juga mengambil kesempatan memancing di kawasan tembok jeti kerana kawasan ini selamat dan boleh memancing sehingga ke pagi tanpa gangguan sambil bersantai setelah saban hari bekerja membanting tulang mencari rezeki.

Pelbagai telatah dan aksi orang ramai terutama kanak-kanak boleh dilihat di kawasan dataran yang begitu teruja bermain sambil diperhatikan ibu bapa.

Berhampiran jeti ini terdapat pekan yang menjual pelbagai hasil tangkapan laut dan barangan cenderahati yang juga antara sebab Jeti Lumut menjadi tumpuan pada waktu malam.

Kepelbagaian hidangan makanan laut yang ditawarkan menjadikan restoran dikunjungi ramai terutama anak muda yang ingin bersantai sambil menikmati makan malam.

Malah Kapal KD Rahmat berhampiran kawasan taman dibuka kepada umum dan bayaran RM12 bagi dewasa, Pelajar RM7 dan Warga emas RM7 manakala bagi kanak-kanak adalah percuma.

Suasana Berbeza Di Malam Hari

Suasana malam di Jeti Lumut berbeza dengan keadaannya pada sebelah siang dengan kunjungan orang ramai dan pelancong untuk beriadah sambil melihat suasana matahari terbenam serta merasai kedinginan angin laut bertiup.

Pengunjung mula membanjiri dan mengeliling taman ini terutama kawasan meletak kereta, bagaikan terdapat pesta yang pastinya akan membuatkan kita teruja melihat apakah kemeriahan di sebalik kunjungi orang ramai pada waktu malam.

Kanak-kanak bebas berlari-lari di kawasan dataran sambil bermain belon air manakala peniaga mengambil kesempatan berniaga menjadikan suasana waktu malam di jeti itu begitu meriah.

Pada malam minggu, kadangkala terdapat pertunjukan nyanyian daripada kumpulan muzik tempatan membuatkan pengunjung dibuai hiburan sambil menikmati udara malam tepi laut bersama keluarga serta sahabat dalam suasana harmoni.

Kawasan jeti dan Lumut Waterfront juga meriah dengan cahaya dengan cahaya lampu sehingga di atas pokok menjadikan suasana terang benderang dan ada yang mengambil kesempatan menikmati makan malam di restoran di kawasan jeti ini.

Di kawasan dataran, peniaga tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus mengunjungi jeti ini, sekali gus menambah rezeki untuk menjalani kehidupan seharian.

Kemudahan Perlu Diselenggara

Hasil tinjauan Peraktoday bagaimanapun mendapati beberapa kemudahan seperti taman permainan dan papan tanda kelihatan lusuh dan usang seakan hilang serinya.

Alangkah baik sekiranya pihak perbandaran mengambil maklum situasi ini agar keadaan ini tidak menjejaskan kehadiran pengunjung.

Daun-daun kering dan dinding bangunan yang suluh turut mencacatkan pemandangan sekitar taman dan jika dibiarkan dikhuatiri akan menjejaskan tarikan tersendiri yang terdapat di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");