Berita Hari Ini

Malaysia Selamat Untuk Pelancong

KUALA LUMPUR – Disenaraikan di tahap terendah dalam sistem ranking keselamatan dan sekuriti yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat menunjukkan Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk aspek-aspek keselamatan di kalangan pelancong.

Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohd Yazid ZulKepli berkata tinjauan positif itu menunjukkan tahap keselamatam umum di negara ini yang sederhana dan selamat untuk pelancong.

“Selepas insiden serangan ke atas Modiva pub oleh penyokong ISIS (Daesh) pada Jun 2016, tiada laporan mengenai kejayaan serangan di Malaysia. Pasukan polis juga telah berjaya mengekang dan mengawal ancaman keganasan dengan kira-kira 400 suspek ditahan,” kata beliau kepada Bernama hari ini mengenai ranking sistem amaran perjalanan itu yang dikeluarkan pada 10 Jan lapor Bernama.

Negara-negara yang berada di Tahap Satu: “Exercise Normal Precautions” antaranya ialah Australia, Singapura, Brunei, Sweden dan Switzerland.

Sebelas negara menduduki ranking Tahap Empat, “Do Not Travel” iaitu Afghanistan, Republik Afrika Tengah, Iran, Iraq, Libya, Mali, Korea Utara, Somalia, Sudan Selatan, Syria dan Yaman.

Amerika Syarikat memperkenalkan sistem itu untuk memberi amaran kepada warga negaranya mengenai bahaya perjalanan ke luar negara dan dengan itu memberi nasihat perjalanan yang lebih jelas kepada pelancong.

Mohd Yazid berkata risiko keselamatan dan sekuriti di bawah program nasihat perjalanan Amerika Syarikat yang dilancarkan oleh Biro Hal Ehwal Konsular Jabatan Negara melibatkan penilaian oleh pakar keselamatran AS, komuniti perisikan, kerajaan selaku hos, kedutaan dan konsulat Amerika Syarikat.

“Tahap Satu dan Dua dikaji semula setiap tahun tetapi boleh dikaji secara kekerapan bergantung kepada keadaan. Tahap Tiga dan Empat disemak semula setiap enam bulan,” katanya dan menambah bahawa Malaysia pada umumnya adalah negara yang selamat untuk dikunjungi.

Sementara itu, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kedudukan Malaysia dalam ranking itu adalah sesuatu yang diinginkan oleh setiap negara terutama jika mahu menarik pelaburan dan pelancongan kerana ranking ini mencerminkan tahap keselamatan dalam aspek politik, ekonomi, keselamatan dan sosio budaya.

“Objektif kita menjadikan Kuala Lumpur sebagai satu daripada dua puluh bandar raya terbaik untuk didiami di dunia dapat dicapai. Untuk mereka yang ingin menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua, penarafan ini menjadikan Malaysia menarik. Pendek kata, pilihan yang ideal. Itulah pandangan saya,” kata beliau.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek pula percaya antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu adalah kerana Malaysia telah banyak mematuhi pelbagai undang-undang dan piawaian antarabangsa berkaitan anti keganasan.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata antara undang-undang tersebut adalah mewujudkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) , Akta Pencegahan Keganasan (POTA) , Akta Pencegahan Jenayah ( POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ini antara undang-undang yang boleh dikuatkuasakan sebelum jenayah berlaku dalam usaha mengekang sebarang aktiviti menyalahi undang-undang sekaligus mewujudkan situasi aman dan tenteram di negara ini,” katanya.

Beliau berkata faktor lain adalah kejayaan pelaksanaan program deradikalisasi antara semua agensi keselamatan dan pertahanan yang terlibat yang saling berganding bahu dalam memastikan program itu benar-benar mencapai misinya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis dan pakar isu-isu antarabangsa Prof Dr Zaid Ahmad berkata kejayaan Malaysia itu seharusnya boleh mempercepat proses dan kelulusan program pengecualian visa bagi rakyat Malaysia memasuki Amerika Syarikat.

Malaysia dilaporkan telah menyatakan hasrat untuk menyertai program pengecualian visa itu semasa perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika ketika itu Barack Obama semasa melawat Malaysia pada April 2014.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");