Sukan Hari Ini

Mohon Maaf Atau Saman

KUALA LUMPUR: “Saya beri tempoh 14 hari kepada Haslina Shaharuddin dan Norfizah Othman tampil memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan mahkamah,” kata pengasas Persatuan Bekas Pesilat Negara (PBPN), Zakri Ibrahim yang berang dengan tuduhan tidak berasas dua individu terbabit ke atas dirinya.

Zakri yang pernah memimpin PBPN sebagai presiden selama lima tahun menegaskan, tindakan dua ahli jawatankuasa (AJK) itu yang menuduhnya menipu nyata menjejaskan reputasinya dan mengakui tidak teragak-agak untuk memfailkan saman malu kepada Haslina dan Norfizah.

“Hari ini saya hadir di Ibu pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis mengenai tuduhan tidak berasas oleh dua AJK yang pernah berkhidmat bersama saya sebelum ini.

“Malah, hari ini juga saya tampil mendedahkan dua nama individu itu yang cuba mencemar nama saya iaitu Norfizah yang juga bendahari PBPN dan Haslina.

“Kenyataan mereka menuduh saya menipu sebenarnya tidak jelas dan tergantung. Ekoran daripada itu, pelbagai andaian negatif timbul dan ia jelas mencemarkan nama baik saya.

“Saya mahu mereka tampil menjelaskan apa yang dikatakan menipu itu dan tunjukkan bukti. Sekiranya dalam tempoh 14 hari gagal berbuat demikian, saya akan bawa perkara ini ke mahkamah kerana menjejaskan imej saya,” kata bekas pemenang pingat emas Kejohanan Silat Olahraga Dunia 2000 Jakarta itu.

Sebelum ini, beliau yang meletak jawatan selaku pengerusi PBPN pada 24 Oktober lalu secara sukarela berhasrat kembali membantu persatuan itu, namun hasrat itu seolah-olah cuba dihalang beberapa AJK.

Kemuncaknya, dikatakan ada pakatan cuba menjatuhkan beliau dengan mencipta tuduhan tidak ada bukti mengenai dirinya.

“Kalau berkaitan peribadi sepatutnya tidak boleh dikaitkan dengan PBPN. Malah, sepanjang saya memimpin persatuan rasanya tak pernah ada sebarang masalah berlaku,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau turut berterima kasih kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang sudi menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");