KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, perlu mengakui kelemahan diri apabila gagal mendapat kepercayaan menjadi calon perdana menteri pakatan pembangkang berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin, berkata Muhyiddin bukan saja gagal menjadi calon perdana menteri tetapi juga menyusahkan seorang insan berusia 93 tahun yang berjuang demi kepentingan politik sendiri.
“Sekarang paling kasihan adalah Dr Mahathir yang terpaksa diperkudakan oleh mereka yang bercita-cita untuk menjadi PM.
“Jadi, sejauh manakah harapan rapuh ini dapat bertahan sedangkan 32 juta rakyat Malaysia mempertaruhkan masa depan mereka terhadap gagasan ini sekiranya benar pakatan pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).
“Ini bukan sekadar persoalan keyakinan tetapi sejauh manakah pengundi Malaysia berani mengubah kerajaan pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai keciciran nama Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri dalam resolusi konvensyen pakatan pembangkang Ahad lalu.
Anina yang juga Presiden Empirikal Malaysia berkata, PPBM jelas tiada kekuatan pengaruh atau kepercayaan parti pembangkang lain untuk menduduki dua kerusi terpenting sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
“Satu yang menarik untuk diperkatakan adalah berkaitan gabungan harapan rapuh itu sendiri. Calon PM adalah bekas PM yang pernah memenjarakan suami calon TPM sebelum dibebaskan ketika era PM kelima dari Barisan Nasional.
“Calon TPM adalah daripada parti yang memperjuangkan pembebasan suaminya selama lebih 20 tahun hingga kini,” katanya.