Berita Hari Ini

Mural Patriotisme Ceriakan Kawasan Awam

KUANTAN –  Mural yang dilukis warga Kolej Komuniti Kuantan di kawasan awam di Bim Point dilihat bukan sahaja memberikan suasana baharu malah mampu menceriakan Bandar Indera Mahkota, di sini.

Ketua Program Teknologi Seni Bina Kolej Komuniti Kuantan, Maulud Tawang berkata, mural bertemakan Negaraku, Patriotisme dan Sukarelawan itu adalah hasil kerja 12 pensyarah dan 14 penuntut jurusan Teknologi Senibina Kolej Komuniti Kuantan.

“Kemahiran penuntut dan pensyarah dalam jurusan teknologi senibina melancarkan lagi aktiviti melukis, selain pengalaman luas sebelum ini digunakan bagi memberi kelainan kepada hasil lukisan.

Saya percaya  lukisan yang ada pada dinding itu  mampu mencetuskan lebih keceriaan kepada pengunjung yang melalui kawasan itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, aktiviti melukis mural yang diharap menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan sukarelawan mahasiswa dan agensi yang bertunjangkan kesukarelawanan itu dilakukan sempena Hari Sukarelawan Sedunia baru-baru ini.

“Saya harapkan program in dapat menyempurnakan hasrat kerajaan untuk melahirkan sukarelawan yang berkeupayaan untuk berkomunikasi dengan berkesan, cintakan negara.

“Selain itu kita harapkan mereka dapat  menghayati nilai-nilai murni dan jati diri sebagai asas kehidupan dan mampu untuk memberikan sumbang bakti kepada masyarakat, negara dan dunia,” katanya.

Sementara itu, seorang penuntut, Damia Uzma Abdul Rizan, 19, yang kali pertama menyertai program mural itu berkata, aktiviti berkenaan memberikan pengalaman menarik, selain kerjasama dalam kumpulan melancarkan lagi setiap tugas.

“Saya bangga dapat menyertai khidmat bakti ini dan akan terus menyertai program seperti ini pada masa akan datang sebagai usaha memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Penganjuran Projek Kesukarelawan – Mural Hari Sukarelawan Sedunia itu adalah dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM), Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti dan Majlis Hal Ehwal Pelajar Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) Swasta.

Perasmian yang dilancarkan Pengarah Kolej Komuniti Kuantan, Rosli Zainuddin itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Pengurusan,  Che Ariza Che Kasim, Timbalan Pengarah Akademik, Zaitun Ismail.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");