Sukan Hari Ini

Nicol Sandaran Utama Raih Emas Sukan Komanwel

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David diletakkan sebagai sandaran utama bagi meraih pingat emas pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April ini.

Pengarah kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Mej (B) S. Maniam berkata selain acara perseorangan, ketiga-tiga acara beregu turut menjadi sandaran pingat negara.

“Nicol memang sangat fokus untuk menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara dan saya yakin dengan kemampuannya manakala peluang beregu agak sukar untuk dijangka.

“Bagi beregu lelaki, cabarannya agak sukar…beregu wanita dan beregu campuran mempunyai peluang lebih cerah. Namun, saya yakin skuad beregu negara sudah faham mengenai acara itu dengan adanya beberapa kejohanan beregu kini,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan bagi temasya itu.

Pada mesyuarat berkenaan di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini, SRAM menyenaraikan sembilan pemain, namun belum bersedia mengumumkan senarai akhir pemain terpilih itu.

Bagaimanapun, antara pemain dikatakan bakal mewakili negara adalah Nicol, S. Sivasangari, Rachel Arnold, Mohd Nafiizwan Adnan, Ng wain Yow, Ivan Yuen, Mohd Syafiq Kamal dan Sanjay Singh Chal.

Dalam perkembangan lain, Maniam turut memuji pencapaian cemerlang pemain muda negara yang mengungguli empat daripada lima kategori wanita pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja British yang berakhir, semalam.

“Pemain yang raih pingat atau gelaran memang membanggakan, namun mereka yang tidak meraih pingat emas juga mempamerkan aksi cukup cemerlang,” katanya.

Empat pingat emas itu adalah dalam kategori Bawah 13 (B-13) Wanita menerusi K. Sehveetrraa; Aira Azman (B-15 Wanita), Aifa Azman (B-17 Wanita) dan Sivasangari (B-19 Wanita).

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");