KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 perkara dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) untuk dimasukkan dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga.
Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, kod itu melibatkan15 panduan mesti dipatuhi dan lapan tingkah laku mesti dihindari oleh ibu bapa dan penjaga.
“Antara usulnya ialah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk kepada pengetua, guru besar atau pentadbir institusi pendidikan terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru-guru berkaitan anak mereka.
“Ini kerana pihak pentadbir bertanggungjawab untuk berbincang permasalahan tersebut bersama guru dan ibu bapa,” katanya menerusi laporan Sinar Online, hari ini.
Katanya, ibu bapa juga tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan.
“Pihak sekolah berhak menghubungi polis jika arahan ini tidak dipatuhi.
“Selain itu, ibu bapa tidak boleh menyalahgunakan atau mesej bernada mengancam seperti e-mel, teks, mel suara, telefon atau lain-lain komunikasi bertulis serta media sosial seperti Facebook,” katanya.
Menurut beliau, cadangan itu akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam pertemuan dijangka bulan ini.