Jenayah

Operasi Cegah Jenayah Tahan 26 Orang

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa menahan 26 individu termasuk 12 daripadanya berkaitan kesalahan dadah susulan operasi bersepadu dan cegah jenayah di tujuh lokasi termasuk beberapa penempatan setinggan di sekitar ibu negeri, semalam.

Operasi tujuh jam bermula jam 1 pagi hingga 8 pagi itu dijalankan di penempatan setinggan Batu 5 1/2 di Luyang, belakang Giant Kolombong, Kampung Sinulihan dan Kalansanan di Inanam, Kampung Cenderamata 1 di Likas serta pasar buah dan Pasar Kraftangan di bandar raya ini.

Serbuan dijalankan empat pegawai bersama 78 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, sukarelawan polis, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pihak berkuasa memeriksa 72 individu di semua lokasi terbabit, sebahagian besarnya warga Filipina.

“Daripada jumlah itu, seramai 14 orang iaitu 12 lelaki dan dua wanita, semuanya warga Filipina berusia antara 11 hingga 44 tahun ditahan berkaitan kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Seramai 12 lelaki lagi ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dan semua 26 individu yang ditangkap dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Chandra berkata, tumpuan lokasi operasi adalah di kawasan penempatan setinggan yang menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga menyebabkan berlaku kegiatan jenayah di daerah ini.

“Polis bersama pihak berkuasa lain akan menjalankan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dan kita menyarankan agar orang ramai sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan PATI dan jenayah supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");