Membawang Hari Ini

Osman Ali Terkena Lagi

KUALA LUMPUR: Pernah mengalami nasib sama, pengarah Osman Ali terkilan apabila filem terbarunya, Pinjamkan Hatiku sekali lagi menjadi mangsa kes ‘curi rakam’ dan siaran langsung melalui media sosial, baru-baru ini.

Osman berkata, beliau sudah mengambil tindakan apabila filem Pinjamkan Hatiku menjadi mangsa ‘curi rakam’ dalam insiden pertama pada hari kedua tayangan, Disember lalu.

“Kalau masih ingat, pada hari kedua filem Pinjamkan Hatiku ditayangkan di pawagam, ada penonton ‘curi rakam’. Selepas kami ambil tindakan tegas, mereka hentikan perbuatan itu, tidak ada siapa berani buat.

“Malangnya, empat hari lalu selepas filem ini disiarkan Astro First, sudah ada pihak yang berani membuat siaran langsung di Facebook dan laman sosial yang lain.

“Saya terima banyak pautan filem itu. Nampaknya, terang-terangan individu terbabit tanpa rasa segan silu, takut dan bersalah menyiarkan filem saya secara haram,” katanya memetik laporan BH Online.

Osman mendakwa berikutan insiden itu, filem Pinjamkan Hatiku disaksikan ratusan ribu penonton, malah dikongsi belasan ribu orang.

September lalu, filem arahan Osman, Kau Yang Satu turut menjadi mangsa kes ‘curi rakam’ dan siaran langsung melalui laman sosial.

Osman berkata, orang ramai perlu menghormati filem baharu yang habis ditayangkan di pawagam sebelum disiarkan Astro First.

“Kenapa mereka begitu mudah tanpa berfikir panjang berbuat demikian? Jika disiarkan secara haram, jumlah pelanggan Astro First juga akan berkurangan.

“Saya fikir golongan yang suka melakukan ‘curi rakam’ dan menyiarkan secara langsung ini mahu mendapatkan pengikut yang banyak selain meraih populariti.

“Masalahnya, risiko ditanggung penerbit sendiri apabila ada pihak yang berminat menyiarkan filem kita di luar negara. Namun, disebabkan kegiatan tak bermoral ini disebarkan di YouTube dan laman sosial lain, hasrat itu terbantut,” katanya.

Beberapa hari lalu, Osman yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-45, hari ini, memuat naik status mengenai filem arahan terbarunya, Pinjamkan Hatiku menjadi mangsa cetak rompak alaf baharu.

Filem Pinjamkan Hatiku dibintangi Shaheizy Sam, Ayda Jebat, Datuk Farid Kamil dan ditayangkan sejak 30 November lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");