Perak Hari Ini

Pantai Teluk Senangin Kotor, Pengunjung Perlu Peka Soal Kebersihan

SEGARI:Jijik dan mengecewakan, itu keadaan Pantai Teluk Senangin dekat sini apabila longgokkan sampah sarap dibiar bersepah di kawasan peranginan tersebut.

Keadaan tersebut berlaku dise­babkan tabiat serta sikap tidak bertanggungjawab pe­ngunjung yang suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga mencemarkan pemandangan juga kebersihan kawasan rekreasi ini.

Seorang pengunjung, Abu Bakar Yazid, 31, berkata, pemanda­ngan di pantai itu amat menyakit­kan mata kerana keada­annya tidak terurus dengan longgakan sampah yang dibuang begitu sahaja.

Menurutnya, keadaan sedemikian amat memalukan kerana ia menggambarkan sikap dan tabiat pelbagai pihak dalam konteks bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.

“Saya tidak pasti siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kebersihan di sini tetapi kelihatan banyak sampah yang berselerak,” katanya.

Jelasnya longgokkan sampah dan sisa makanan yang dibuang di kawasan sekitar tong sampah seharusnya diangkut secepat mungkin bagi mengelakkan pantai itu dipenuhi lalat serta bau yang kurang menyenangkan selain menarik kehadiran monyet liar dari kawasan hutan berhampiran.

Hasil tinjauan Peraktoday mendapati, sampah tidak dibuang di tempat yang sepatutnya malah monyet liar yang ingin mencari makanan telah menyelerakkan lagi sampah sarap tersebut.

Kemudahan BBQ yang disediakan di kawasan berhampiran pantai turut disalahgunakan, apabila pengunjung membuang sampah makanan begitu sahaja di sekitar kawasan itu.

Begitu juga dengan pengunjung yang berkhemah di kawasan berhampiran yang begitu mudah membuang sampah tanpa rasa bersalah.

Keadaan tersebut dikhuatiri akan membahayakan keselamatan pengunjung terutama kanak-kanak.

Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung Zulaikha Bakri 29, faktor utama menyebabkan keadaan itu berlaku adalah disebabkan tahap kesedaran pengunjung yang rendah tentang tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan.

“Pihak berwajib telah sediakan tong-tong sampah di sekitar pantai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai aspek kebersihan namun kesedaran orang awam masih rendah.

“Tong sampah sudah disedia­kan kenapa dibuang merata tempat. Saya berjalan di pantai turut ternampak lampin pakai buang yang dibiarkan begitu sahaja.

“Pendidikan kebersihan dan amalan bertanggungjawab menjaga persekitaraan awam belum tercapai begitu juga dengan kebersihan tandas awam perlu ditingkatkan,” katanya.

Pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) difahamkan telah berulang kali membersihkan kawasan tersebut namun situasi tersebut pasti akan berulang terutama pada cuti hujung minggu.

MPM diminta supaya mengambil tindakan segera berkaitan isu ini kerana dikhuatiri ia akan menjejaskan keindahan pantai Teluk Senangin selain mengancam keselamatan pengunjung dengan kehadiran monyet-monyet yang banyak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");