Isu Panas

PAS Utama Agenda Perjuangan Berbanding Calon PM

TEMERLOH: PAS belum menetapkan calon Perdana Menteri pilihan mereka sebaliknya mahu mengutamakan agenda perjuangannya terlebih dahulu, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam ucapan pada Fastaqim 2.3 Himpunan 12,000 Jentera PAS Pahang, malam tadi, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan soal siapa yang menjadi ketua atau perdana menteri adalah ketentuan Allah.

“Kita bukan mahu berebut jadi pemimpin, ..tetapi mahu Islam memimpin, menyelamatkan negara, menyelamatkan umat manusia, ini matlamat utama perjuangan kita,” katanya berucap pada himpunan di Kompleks Al Makmur, Kerdau, dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Jabar.

Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM ) Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar PAS menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka terlebih dulu sebelum memperlekehkan pilihan pakatan pembangkang.

Pakatan pembangkang memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS mengambil pendekatan untuk tidak menyokong pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya bergerak menerusi Gagasan Sejahtera.

“Bagi kita soal kepimpinan itu ada dalam parti tetapi kita utamakan dahulu untuk bantu rakyat, PAS tidak sibuk soal jawatan kerana rakyat tengok pun naik muak walaupun sebenarnya kita mempunyai tokoh mampu menerajui negara.

“Soal siapa menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibesarkan, kalau kita cadang orang tertentu pun belum tentu mereka dapat menjawat jawatan berkenaan,” katanya ditemui selepas himpunan itu.

Berhubung calon PAS untuk PRU-14, beliau berkata, Majlis Syura sudah menapis individu layak termasuk daripada sudut kelayakan, akhlak dan amalan harian mereka yang senarainya sudah dirujuk kepada PAS negeri.

“Sekarang kita sudah serahkan senarai nama calon itu kepada negeri untuk mereka tentukan kawasan mereka akan tandingi, bagi calon Parlimen keputusan dibuat pimpinan pusat dan Majlis Syura tidak campur tangan,” katanya.

– Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");