Jenayah

Pasangan Kekasih Dipenjara 12 Bulan Sembunyi Kelahiran Bayi

PETALING JAYA: Sepasang kekasih yang masih menuntut di sebuah kolej swasta masing-masing dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini, atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi perempuan mereka dengan mengebumikan mayat bayi selepas kelahirannya.

Menerusi laporan Bernama, Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizal Said, 20, dan Nur Fitri Iryani Sani, 19, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mereka didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayi perempuan mereka dengan mengebumikan mayat mangsa dengan sulit setelah bayi itu meninggal dunia selepas dilahirkan di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada jam 10 malam 23 Ogos tahun lepas

Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Nur Fitri Iryani kelihatan menangis. Keluarganya juga turut hadir di mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka, memohon hukuman penjara yang minimum dengan alasan mereka berasal daripada keluarga susah selain masih belajar dan ingin meneruskan pengajian.

Mereka berkata bayi yang dilahirkan itu tidak cukup bulan dan tidak mengetahui perbuatan mereka itu salah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan dengan alasan perbuatan mereka menyebabkan bayi berkenaan meninggal dunia.

“Gambar menunjukkan bayi dalam keadaan sempurna dan kedua-dua tertuduh seharusnya mendapatkan rawatan atau memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian Nur Fitri Iryani mengadu kepada Faizal bahawa dia mengalami sakit perut lalu Nur Fitri Iryani pergi ke tandas dan melahirkan bayi secara normal.

Bayi itu jatuh ke atas lantai dalam keadaan jarinya masih bergerak, bagaimanapun selepas itu Nur Fitri mendapati bayi itu tidak lagi bernyawa dan memaklumkan perkara itu kepada kekasihnya lalu Faizal bertindak membawa mayat bayi itu keluar dari pangsapuri.

Sepanjang wanita itu mengandung tiada sebarang rawatan perubatan diambil walaupun dia mengetahui sedang hamil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");